Wisma Putra nafi pilih kasih dalam usaha bawa pulang rakyat terkandas

Wisma Putra nafi pilih kasih dalam usaha bawa pulang rakyat terkandas

Sebaliknya, perwakilan Malaysia di luar negara sudah diarahkan untuk membuat penilaian situasi krisis Covid-19 di negara berkaitan.

Sehingga hari ini jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara ialah 3,468 di 61 negara.
PETALING JAYA:
Kementerian Luar Negeri menafikan dakwaan pihaknya pilih kasih dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara disebabkan sekatan perjalanan susulan penularan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Luar Negeri Kamarudin Jaffar berkata, kementeriannya tidak pernah dan tidak akan sesekali mengamalkan sikap diskriminasi kepada mana-mana rakyat. Sebaliknya, perwakilan Malaysia di luar negara sudah diarahkan untuk membuat penilaian situasi krisis Covid-19 di negara berkaitan.

“Wisma Putra mengambil serius terhadap laporan, surat, posting di media sosial dan komen-komen di laman Facebook rasmi Wisma Putra khususnya daripada rakyat Malaysia di luar negara yang mendakwa Wisma Putra seolah-olah memilih kasih.

“Wisma Putra tidak pernah dan tidak akan sesekali mengamalkan diskriminasi. Di Nepal misalnya, kami maklum terdapat 37 orang Malaysia sedang terkandas. Saya sudah mengarahkan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menghulurkan bantuan konsular sewajarnya,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Tambahnya, sehingga hari ini jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara kian meningkat iaitu 3,468 di 61 negara.

Jumlahnya semakin tinggi selepas terdapat peningkatan ketara rakyat mendaftarkan diri di Kedutaan Besar Malaysia di Chennai sebagai mereka yang terkandas.

“Mereka yang terkandas ini merujuk kepada rakyat Malaysia yang kebetulan berada di luar negara atas urusan kerja, urusan keluarga dan bercuti. Mereka mempunyai tiket pulang ke Malaysia tetapi tidak dapat pulang kerana halangan perjalanan atau syarikat penerbangan membatalkan penerbangan,” katanya.

Kamarudin berkata, usaha memudahcara kepulangan rakyat ini bukannya mudah, kerana terdapat beberapa cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi.

“Banyak negara mengisytiharkan ‘lockdown’ ekoran penularan wabak Covid-19. Kerajaan perlu berunding dengan kerajaan negara-negara terlibat bagi mendapatkan kelulusan pendaratan penerbangan.

“Rundingan kita dengan sebahagian besar kerajaan negara tersebut sudah menemui hasil diharapkan. Namun, rundingan dengan beberapa negara khususnya berkaitan isu domestik di sana mengambil sedikit masa.

“Selain itu, tiada langsung pesawat komersial dibenarkan untuk membuat penerbangan keluar masuk ke beberapa buah negara.

“Dalam situasi ini, sekalipun kita peroleh kebenaran mendarat, kita masih perlu dapatkan pesawat sewa khas,” katanya.

Jelasnya, bagi negara yang langsung tidak membenarkan pesawat komersial keluar dan masuk, kementeriannya sedang berusaha mendapatkan sejumlah peruntukan tambahan lebih RM19 juta bagi membawa keluar rakyat yang terkandas.

Brunei bawa pulang rakyat Malaysia

Pada masa sama, Kamarudin memaklumkan kerajaan Brunei menyatakan persetujuan untuk membenarkan sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah, Mesir menaiki pesawat Brunei dari Mesir ke Brunei.

“Sehingga hari ini, seramai 86 orang rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di Kaherah, Mesir. Namun demikian, disebabkan kapasiti penerbangan kerajaan Brunei yang terhad, hanya 51 orang rakyat Malaysia sahaja dibolehkan menaiki penerbangan tersebut.

“Dalam hal ini, keutamaan diberikan kepada warga emas dan pelancong rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air. Penerbangan ini dijangka tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam pada hari Ahad, 29 Mac, jam 8.40 pagi,” katanya.

Selain itu, Kamarudin turut memaklumkan mengenai kepulangan 162 orang rakyat Malaysia dari Ho Chi Minh, Vietnam pada Khamis, menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang diselaraskan Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi.

“Semua mereka ini merupakan pelancong yang terkandas di Ho Chi Minh, Vietnam. Yakinlah keutamaan Wisma Putra adalah untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia di luar negara yang masih terkandas dipelihara sebaik mungkin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.