
Putrajaya melanjutkan perintah kawalan pergerakan yang sepatutnya berakhir 31 Mac ini sehingga 14 Apr bagi membendung penularan Covid-19 susulan peningkatan sejumlah kes baru.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, Putrajaya masih tidak mempertimbangkan pelaksanaan sekatan sepenuhnya seperti di beberapa negara lain bagi membendung Covid-19.
Beliau secara peribadi amat berharap Malaysia tidak akan sampai ke tahap yang akan menjejaskan rakyat dan ekonomi negara itu.
Semalam, Putrajaya mengumumkan Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam tadi kerana sejumlah penduduknya positif Covid-19.
Hari ini, MKN dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, turut menepis dakwaan 69 etnik Rohingya di Selayang yang dikatakan positif Covid-19.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai tidak membeli pensanitasi yang tidak diiktiraf Bahagian Regulatori Farmasi Negara.
Malaysia mencatatkan 26 kematian dan 2,161 kes baru Covid-19 setakat hari ini.