
Disediakan menerusi program Khidmat Rundingan Majikan yang akan diperkenalkan KWSP pada 15 Apr, langkah ini dijangka memberikan penjimatan aliran tunai kepada majikan yang dianggarkan berjumlah RM10 bilion.
“Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 480,000 PKS dan syarikat yang terjejas, di samping menyelamatkan lebih 8 juta pekerjaan,” katanya dalam perutusan hari ini.
Perkhidmatan itu disediakan bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion yang diumumkan petang tadi.
Di samping itu, kerajaan akan mengecualikan pembayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi semua sektor untuk tempoh 6 bulan mulai April.
“Langkah ini dijangka membantu aliran tunai syarikat dengan penjimatan keseluruhan bernilai RM440 juta,” katanya.
Kerajaan juga membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua perusahaan kecil dan sederhana untuk tempoh 3 bulan mulai 1 Apr.
Ini merupakan tambahan kepada penangguhan bayaran ansuran cukai selama 6 bulan yang diberi kepada perniagaan dalam sektor pelancongan bermula 1 Apr.
“Bagi sektor lain yang turut terkesan, mereka dibenarkan untuk meminda jumlah cukai pendapatan yang dikenakan pada bulan ke-3, ke-6 dan ke-9 ansuran dalam tempoh asas perniagaan,” katanya.
Kontaktor perkhidmatan
Sementara itu, kerajaan akan membayar gaji pekerja yang ditanggung kontraktor perkhidmatannya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.
Melibatkan kontrak perkhidmatan seperti pembersihan dan bekalan makanan bermasak di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam, institusi latihan awam serta agensi dan badan berkanun, kerajaan akan membayar gaji lebih 80,000 pekerja walaupun “tidak hadir bekerja”.
“Kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh kontrak perkhidmatan yang berkenaan selama sebulan sebagai ‘trade-off’ dengan tempoh PKP,” katanya.
Dana untuk PKS
Selain itu, perdana menteri mengumumkan Bank Negara akan menyediakan dana tambahan RM4.5 bilion merangkumi 5 inisiatif utama:
1. Menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM5 bilion. Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.
2. Meningkatkan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.
3. Menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah. Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional
dengan menawarkan kadar faedah 2% sahaja tanpa cagaran.
- Syarat kelayakan pinjaman dilonggarkan dengan minimum 6 bulan operasi berbanding setahun operasi.
- Amaun pembiayaan ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan.
- Inisiatif ini terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.
4. PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada 4 tahun boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.
5. Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70% kepada 80% bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.
Sesuatu untuk bank
Kerajaan juga berterima kasih kepada Bank Negara dan industri perbankan yang menawarkan penangguhan bayaran pinjaman, penukaran baki kad kredit kepada pinjaman berjangka, dan penstrukturan semula pinjaman korporat.
“Sebagai balasannya, kerajaan bersetuju supaya pendapatan pihak bank dari faedah atau keuntungan ke atas pinjaman atau pembiayaan yang terlibat dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan ini, hanya dikenakan cukai apabila pendapatan tersebut diterima selepas tempoh moratorium,” katanya.
Selain itu, moratorium bagi pinjaman Tekun, Mara dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS akan dipanjangkan mulai 1 Apr.
Diskaun elektrik
Sementara itu, perdana menteri mengumumkan Tenaga Nasional Berhad akan memberikan diskaun berperingkat, antara 15% hingga 50%, mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600kw sebulan.
Pecahan diskaun yang berkuatkuasa bagi tempoh 6 bulan mulai bil April:
- Diskaun 50% bagi pengunaan bawah 200kw.
- Diskaun 25% bagi penggunaan antara 201kw hingga 300kw.
- Diskaun 15% bagi penggunaan antara 301kw hingga 600kw.