
Perkembangan ini di sebalik kritikan terhadap keputusan kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan sehingga RM6,000 daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh 12 bulan akan datang, antara langkah membantu orang ramai mengurangkan kesan kawalan perniagaan dan kehidupan harian bagi melawan pandemik.
Ahli ekonomi Yeah Kim Leng memberi amaran agar tidak mengusik rizab bank pusat.
“Kecuali jika kita memiliki rizab yang luar biasa besar, ia mungkin mempunyai kesan terhadap pembayaran import dan keyakinan pelabur, terutama dalam pasaran kewangan negara,” Yeah memberitahu FMT.
Bekas penasihat ekonomi kepada pentadbiran lepas, Muhammed Abdul Khalid menyarankan rizab Bank Negara (BNM) digunakan untuk membiayai langkah-langkah kewangan bagi melawan kesan kawalan perniagaan seluruh negara.
Yeah bagaimanapun berkata rizab negara biasanya penampan terhadap ketidakstabilan.
Sebarang pengurangan daripada jumlah semasa mungkin memberi kesan pada pelaburan berikutan pelabur mungkin melihat rizab negara sebagai tanda kestabilan sebelum melabur, tambahnya.
Sebaliknya, beliau mencadangkan Putrajaya mengumpul dana untuk pakej rangsangannya dengan meminjam secara langsung daripada pasaran modal, sama ada BNM atau Petronas.
Mengikut kebiasaannya, beliau berkata, pinjaman langsung kerajaan tidak boleh melebihi 55% daripada KDNK, dan bayaran pembayaran hutang tidak boleh melebihi 20% daripada hasil.
Beliau berkata, hutang langsung ketika ini sekitar 52% daripada KDNK sementara bayaran khidmat hutang sekitar 16% daripada hasil. Oleh itu, katanya, “masih ada ruang untuk meminjam lebih banyak”.
Beliau juga berkata rizab Petronas “berbilion” dan boleh digunakan dalam “masa krisis” walaupun ini mungkin menyebabkan pertumbuhan syarikat terganggu.
Beliau berkata dengan rizab itu, kerajaan boleh sediakan pakej rangsangan yang lebih besar jika perlu, sambil menambah pekerja yang bekerja sendiri dan pekerja sambilan paling terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengawal Covid-19, virus yang setakat ini mengorbankan 16 orang dan menjangkiti lebih 1,600 orang.
Yeah berkata adalah penting lebih banyak wang dan pakej lebih besar dihalakan kepada perniagaan kecil bagi menghalang pemberhentian kerja.
Beliau juga berkata pakej seperti itu tidak mungkin akan menyebabkan agensi penarafan menurunkan kedudukan negara “kerana hampir setiap negara berada dalam keadaan yang sama”.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga mengkritik keputusan Putrajaya membenarkan pengeluaran KWSP, menegaskan tindakan itu akan memberi kesan pada dividen tahunan pencarum dan mengurangkan simpanan jangka panjang mereka.
MTUC berkata kerajaan sebaliknya boleh menggunakan rizab untuk memberi pinjaman tanpa faedah kepada pencarum KWSP.
Namun pakar ekonomi, Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata langkah membenarkan pengeluaran KWSP lebih selamat berbanding pemberian wang tunai yang besar.
“Pemberian tunai secara besar-besaran akan memberi kesan pada tahap defisit kerajaan, mewujudkan beban yang perlu ditanggung orang lain pada masa depan,” katanya kepada FMT.
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak bersetuju pengeluaran simpanan KWSP pilihan yang baik untuk golongan berpendapatan sederhana.
Tetapi beliau memberi amaran tidak semua orang mempunyai pilihan ini.
“Kebimbangan saya adalah golongan berpendapatan rendah yang bekerja di sektor tidak formal dan tidak dilindungi KWSP dan pencarum berpendapatan rendah yang menghampiri usia persaraan.”
Beliau juga berkata pencarum yang mengeluarkan RM6,000 dalam tempoh 12 bulan mungkin kekurangan RM5,000 dalam bentuk dividen yang akan diterima jika pencarum tidak menyentuh wangnya.
Beliau berkata lebih baik bagi kedua-dua kumpulan itu jika kerajaan membantu mereka dengan memberikan kupon makanan atau kredit e-wallet.