
Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaacob meminta orang ramai jangan berpusu-pusu ke bank dan mesin pengeluaran wang apabila gaji masuk nanti, menjangkakan kawasan berkenaan bakal dipenuhi orang awam.
Anggota keselamatan dan pertahanan juga akan bekerjasama dengan pegawal keselamatan di premis berkenaan untuk memastikan perintah kawalan pergerakan dipatuhi.
“Mungkin mereka akan benarkan berapa orang sahaja masuk ke dalam bank pada satu-satu masa,” katanya selepas mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya hari ini.
Ditanya mengenai luahan orang ramai berhubung pengeluaran RM500 setiap bulan bagi tempoh setahun daripada caruman KWSP bagi menangani kesan penularan Covid-19, Ismail meminta tunggu pengumuman rasmi perdana menteri tentang “sedikit perubahan” dalam masa terdekat.
Perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat khas Kabinet esok, katanya.
“Mungkin kita ada pengumuman pakej rangsangan yang kita akan bincang masa mesyuarat…mungkin ada pengumuman daripada perdana menteri,” tambahnya.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia semalam mengkritik langkah tersebut, mengatakan ia akan mengurangkan jumlah simpanan jangka panjang pekerja dan menyebabkan kerugian dividen tahunan.