Gara-gara Covid-19, panggung wayang pandu masuk Seoul ‘diserbu’

Gara-gara Covid-19, panggung wayang pandu masuk Seoul ‘diserbu’

Panggung wayang pandu masuk di Seoul dilihat sebagai salah satu cara untuk menceriakan hidup tanpa risiko dijangkiti Covid-19.

Panggung wayang pandu masuk menjadi pilihan utama untuk menceriakan kehidupan dan pada masa sama elak dijangkiti Covid-19. (Gambar Bangkok Post)

Gara-gara risiko penularan wabak Covid-19, pelbagai cara yang dilakukan masyarakat dunia untuk menghiburkan diri sendiri namun pada masa yang sama elak daripada dijangkiti.

Bagi penduduk di Seoul, Korea Selatan mereka memilih untuk menggunakan panggung wayang pandu masuk sebagai salah satu cara untuk menceriakan hidup tanpa risiko dijangkiti Covid-19.

Setakat Ahad, negara itu mencatatkan 8,879 kes virus berkenaan sekali gus mendorong pihak berkuasa melarang orang ramai berkumpul.

Bagaimanapun, di panggung wayang pandu masuk Park Dong-ju, penggemar filem menghabiskan masa menonton dari dalam kenderaan mereka yang diparkir di depan layar gergasi.

“Berlaku peningkatan antara 10% hingga 20% jualan pada hari biasa dan tiket habis dijual pada hujung minggu,” memetik laporan Bangkok Post.

Laman web panggung wayang pandu masuk yang dikendalikan Park menunjukkan iklan bertulis “Dibuka sepanjang tahun”, sesuatu yang berbeza susulan penutupan beberapa perniagaan akibat wabak berbahaya itu.

Menurut pekerja hospital, Choi Jin-young, dia perlu menunggu 2 jam untuk mendapatkan tiket.

“Saya dan teman lelaki memilih panggung wayang pandu masuk ini kerana ia lebih selamat berbanding di dalam bangunan,” katanya yang berusia 21 tahun.

Bagi Park Ji-seung, 24, pula dia enggan melakukan aktiviti di luar rumah kerana wabak Covid-19 dan merasakan lebih selamat menonton filem di panggung wayang pandu masuk ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.