China dijangka tarik perintah berkurung di Hubei, Wuhan

China dijangka tarik perintah berkurung di Hubei, Wuhan

Namun kebimbangan timbul akan berlakunya gelombang ke-2 jangkitan disebabkan orang yang tiba dari luar negara.

Covid-19 sehingga kini mengorbankan lebih 16,500 orang di seluruh dunia.
BEIJING:
China hari ini mengumumkan perintah berkurung yang dilaksanakan di wilayah itu akan ditarik balik terhadap 50 juta penduduk di wilayah tengah Hubei di mana Covid-19 pertama kali muncul akhir tahun lalu.

Namun kebimbangan timbul akan berlakunya gelombang ke-2 jangkitan disebabkan orang yang tiba dari luar negara.

Selepas 2 bulan menjalani kehidupan seharian dengan perintah ketat yang dilaksana kerajaan, penduduk dibenarkan meninggalkan Hubei bermula tengah malam Selasa jika didapati sihat, manakala Wuhan – pusat awal wabak – akan menamatkan sekatan bermula 8 April.

Wilayah itu memerintahkan penutupan pada Januari tetapi mengurangkan sekatan secara beransur-ansur dan membenarkan penduduk bergerak dalam Hubei dan kembali bekerja.

Orang ramai yang ingin masuk atau keluar dari Hubei atau Wuhan dibenarkan berbuat demikian selagi mereka mempunyai kod kesihatan “hijau” yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Namun semua sekolah di wilayah itu kekal ditutup.

Kes baru menurun secara drastik sejak bulan lalu, walaupun jangkitan tempatan pertama yang ditransmisikan dalam tempoh hampir seminggu dilaporkan di Wuhan pada Selasa, bersama 3 kes di lokasi lain di wilayah itu.

Namun, jumlahnya lebih kecil berbanding kes yang diimport, yang tersebar ke-74 negara di seluruh dunia pada Selasa – satu trend yang menambah kebimbangan kemungkinan berlaku gelombang ke-2 jangkitan walaupun ia dilihat berada dalam kawalan pihak berkuasa.

Sebanyak 7 lagi kematian dilaporkan, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara, semua kes berlaku di Wuhan.

Gelombang ke-2

Sebanyak 74 kes import dari luar itu paling banyak dilaporkan sejak data rasmi direkodkan pada awal Mac, dan bilangannya hampir 2 kali ganda daripada yang dilaporkan pada Isnin.

Seperti negara lain di seluruh dunia yang berusaha mengekang penularan pandemik itu, yang sehingga kini mengorbankan lebih 16,500 orang di seluruh dunia, jumlah kes import di China melonjak kepada 427.

Banyak negara melaksanakan peraturan lebih ketat dengan kuarantin individu yang tiba dari luar negara, dan semua penerbangan antarabangsa di Beijing dialihkan ke bandar lain di mana penumpang akan diimbas bagi mengesan virus itu.

Pihak berkuasa Beijing berkata pada Selasa, mana-mana individu yang memasuki China melalui bandar lain dan kemudian membuat perjalanan ke ibu negara dalam tempoh 2 minggu lalu juga akan diperiksa sama ada dijangkiti wabak itu dan diminta supaya menjalani kuarantin.

Shanghai dan Beijing masing-masing merekodkan jangkitan tempatan yang ditransmisikan daripada pesakit import pada Selasa.

Media wilayah itu memberi amaran mengenai gelombang ke-2 dari luar negara, menurut Global Times pada laporan muka depannya, mengatakan “langkah kuarantin tidak mencukupi” bermakna ia “sangat mungkin, bahkan tidak dapat dielakkan”.

Kini lebih 81,000 kes di China dan angka kematian mencapai 3,277 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.