
Presiden SLS, Roger Chin berkata, pengamal undang-undang berharap ketua hakim Sabah dan Sarawak serta pegawai undang-undang mengeluarkan arahan mengadakan perbicaraan secara maya atau persidangan video berikutan penularan pandemik Covid-19.

Ini katanya, bukan sahaja perlu bagi memastikan keadilan terlaksana, tetapi juga untuk mengurangkan risiko penyebaran jangkitan dalam kalangan hakim, peguam dan orang ramai.
“Langkah-langkah itu boleh direalisasikan menerusi inovasi sistem pengurusan kes (CMS) yang digunakan di Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
“Tidak lama lagi banyak perkara akan dibuat melalui CMS dan persidangan video, yang sebelum ini memerlukan kehadiran secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Chin berkata, masyarakat berharap pendengaran maya dapat diteruskan walaupun selepas pandemik berakhir “kerana dunia bergerak ke arah komunikasi maya dan dalam talian”.
“Kemajuan teknologi tidak akan berguna jika tiada persediaan untuk belajar dan menyesuaikan diri.
“SLS berbangga dengan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang boleh beroperasi secara bebas daripada Mahkamah Tinggi Malaya dan melaksanakan langkah pandang ke depan dan lebih sesuai dengan situasi tempatan di Borneo,” katanya.