Arab Saudi laksana perintah berkurung mulai Isnin

Arab Saudi laksana perintah berkurung mulai Isnin

Perintah bermula 7 malam hingga 6 pagi berikutan 119 kes baru direkodkan di negara itu.

2 pekerja buruh di Dubai bermain berdekatan papan tanda mengingatkan orang ramai tentang penjarakkan sosial pada 20 Mac. (Gambar AP)
RIYADH:
Arab Saudi melaksanakan perintah berkurung seluruh negara bermula hari ini selepas kes coronavirus dilaporkan meningkat, sementara Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menggantung semua penerbangan keluar dan masuk.

Raja Salman memerintahkan perintah berkurung bermula 7 malam sehingga 6 pagi selama 21 hari bagi memperlahankan penularan coronavirus, lapor agensi berita rasmi, SPA. Perintah berkurung berkuatkuasa Isnin malam.

Kerajaan UAE akan menggantung semua penerbangan membawa penumpang selama 2 minggu berikutan pandemik itu, lapor agensi berita WAM hari ini. Operasi kargo akan diteruskan.

Kementerian Kesihatan UAE menutup pusat beli-belah dan komersial, dan hanya membenarkan farmasi dan pasar raya, di samping pasar ikan, sayuran, dan daging yang berurusan dengan pemborong, lapor agensi itu. Ia mengehadkan restoran kepada khidmat penghantaran.

WAM melaporkan penutupan operasi itu berkuatkuasa dalam tempoh 48 jam dan selama 2 minggu, tertakluk kepada kajian semula dan penilaian.

UAE menggesa rakyatnya supaya duduk di rumah kecuali bagi keperluan mendesak termasuk mendapatkan bekalan makanan atau perubatan, atau sedang melakukan “kerja-kerja penting”, lapor WAM.

Ahad lalu, Arab Saudi merekodkan 119 kes baru menjadikan jumlahnya 511 kes, yang tertinggi di negara-negara Teluk, kata kementerian kesihatan.

Jumlah kes di 6 negara dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kini lebih 1,700 kes. Bahrain melaporkan kematian ke-2 pada Ahad, membabitkan rakyatnya yang dibawa pulang dari Iran, menjadikan jumlah kematian di GCC 4 orang.

Rantau itu meluaskan langkah memerangi penyebaran pandemik. Kuwait dan Arab Saudi mengambil langkah paling drastik termasuk menghentikan penerbangan antarabangsa, menggantung kerja di kebanyakan institusi, dan menutup tempat awam.

Kerajaan negara Teluk juga mengumumkan pakej rangsangan untuk melindungi ekonomi pengeluaran tenaga mereka, berikutan kejatuhan harga minyak.

UAE, hab pelancongan dan perniagaan di rantau ini, meluluskan tambahan 16 bilion dirham pada Ahad yang menjadikan jumlah pakej rangsangan 126 bilion dirham, menurut Naib Presiden Sheikh Mohammed bin Rashid al-Maktoum di Twitter.

Sektor pelancongan dan perhotelan di Dubai, ekonomi paling pelbagai di rantau itu, terjejas teruk berikutan gangguan pelancongan global.

Emirates, yang berpangkalan di Dubai dan antara syarikat penerbangan terbesar di dunia, pada Ahad mengumumkan akan menggantung operasi membawa penumpang – kecuali penerbangan membawa pulang rakyat ke 13 negara – bermula Rabu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.