7 pekerja positif Covid-19, ladang di Sabah tutup operasi

7 pekerja positif Covid-19, ladang di Sabah tutup operasi

Dua pekerja Sabah Softwood Bhd menyertai himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling, termasuk imam di masjid ladang itu.

Tujuh pekerja ladang Sabah Softwood Bhd di Kalabakan, Sabah disahkan positif Covid-19, sementara 5 yang lain dikuarantin di kem ladang berkenaan. (Gambar Sabah Softwood)
TAWAU:
Sabah Softwoods Berhad (SSB) mengambil langkah drastik menutup operasi sebuah daripada ladangnya, iaitu Ladang Bukit Batu di Kalabakan, dekat sini, berikutan 7 pekerjanya disahkan positif Covid-19 dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

Ketua pegawai eksekutifnya Hattah Jaafar ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini berkata, tindakan itu diambil bagi mengelakkan lebih ramai pekerja ladang itu dijangkiti wabak berkenaan.

“Pada ketika ini, seramai 7 pekerja ladang disahkan positif Covid-19 dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, manakala 5 lagi (pekerja) sedang dikuarantin di kem (ladang) berkenaan,” katanya.

Hattah turut mengesahkan terdapat 2 kakitangannya menyertai himpunan jemaah di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur, termasuk seorang imam di masjid ladang itu.

Bagaimanapun, kedua-dua individu terbabit, termasuk anggota keluarga mereka melakukan saringan kesihatan, katanya.

Hattah berkata, pihak pengurusan SSB mengambil keputusan menghentikan operasi bermula 19 Mac lepas dan meminta pekerja tinggal di rumah masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kakitangan dan pekerja ladang tidak boleh keluar dan orang luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan ladang. Pengawal keselamatan kami akan memastikan arahan ini dipatuhi,” katanya.

Hattah turut berterima kasih kepada kakitangan Pejabat Daerah Kalabakan serta Hospital Tawau kerana banyak membantu dalam mengendalikan kes wabak itu yang membabitkan pekerja SSB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.