PM tak setuju harga topeng muka RM2 sekeping, kata menteri

PM tak setuju harga topeng muka RM2 sekeping, kata menteri

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta harga itu disemak semula supaya harga jualan diturunkan.

Harga baru topeng muka RM2 disebabkan kenaikan harga bahan untuk menghasilkan produk tersebut.
PETALING JAYA:
Harga topeng muka RM2 sekeping yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan dibincangkan semula supaya harganya diturunkan.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta harga itu disemak semula supaya harga jualan diturunkan.

“Harga topeng muka yang diumumkan RM2 terlalu tinggi, jadi perdana menteri tidak setuju, esok kita akan bincang dalam mesyuarat pagi supaya KPDNHEP melihat semula, kita mahu diturunkan lebih lagi sehingga di paras di peringkat awal.

“Tidak ada sebab naikkan harga kerana kita setuju untuk hapuskan duti import pembelian topeng muka, esok kita akan putuskan harga baru tersebut,” katanya menerusi sidang media selepas mesyuarat harian menteri-menteri dan pihak terlibat dalam mendepani Covid-19 di Perdana Putra.

Sebelum ini, KPDNHEP membenarkan import penutup mulut dan hidung bagi mengatasi kekurangan bekalan di pasaran domestik ekoran penularan Covid-19.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi, berkata kebenaran untuk mengimport adalah susulan harga siling penutup mulut dan hidung yang dinaikkan daripada 80 sen sekeping kepada RM2 sekeping sekarang.

“KPDNHEP berharap langkah ini akan menggalakkan peniaga mengimport penutup mulut dan hidung dalam waktu terdekat.

“Kalau KPDNHEP masih hadkan harga siling 80 sen sekeping, pengusaha dan kilang tidak lagi mampu mengeluarkan penutup mulut dan hidung,” katanya.

Alexander berkata, harga baru itu disebabkan kenaikan harga bahan untuk menghasilkan produk tersebut.

Ismail yang juga menteri pertahanan berkata, kerajaan akan cuba mendapatkan bekalan topeng muka dari China lebih banyak lagi berbanding permintaan asal iaitu sebanyak 10 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.