Punca kematian pemandu SUV terhumban ke laut akibat lemas

Punca kematian pemandu SUV terhumban ke laut akibat lemas

Hasil pemeriksaan forensik mendapati paru-paru mangsa dipenuhi air dan bengkak menyebabkan destruksi alveoli, pendarahan dan air didapati dalam perut mayat.

Sebuah kereta berlanggar dengan sebuah SUV sehingga menyebabkan kenderaan itu terhumban ke laut pada 20 Jan tahun lalu. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Mahkamah Majistret hari ini diberitahu punca kematian pelajar kolej dalam insiden kenderaan utiliti sukan (SUV) terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang pada Januari tahun lepas ialah akibat lemas.

Dr P Chandroth Navin dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Moey Yun Peng, 20, berkata terdapat 3 kesan lebam di bahagian luar tubuh mangsa manakala secara dalaman terdapat 4 kesan lebam di bahagian kepala tanpa keretakan tengkorak atau tiada sebarang kecederaan lain.

“Hasil pemeriksaan saya juga konsisten… iaitu paru-paru dipenuhi dengan air dan bengkak menyebabkan destruksi alveoli dan pendarahan dalam paru-paru. Air juga didapati dalam perut mayat.

“Semua ini adalah konsisten dengan ‘lemas’… mengambil kira sejarah yang diperoleh daripada polis bersama penemuan autopsi dan histologi yang menjurus ke arah lemas, dengan ketiadaan trauma luaran atau dalaman lain yang teruk,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin yang bertindak sebagai majistret.

Beliau berkata hasil pemeriksaan juga mendapati objek asing yang terdapat dalam paru-paru mangsa menyebabkan pendarahan.

Chandroth Navin berkata demikian pada perbicaraan kes bekas pekerja salon K Vaitheswaran, 21, yang didakwa menyebabkan kematian Moey apabila kereta yang dipandunya berlanggar dengan SUV mangsa sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandu mangsa terhumban ke laut pada 20 Jan tahun lepas.

Vaitheswaran didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sehingga 3 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Penolong Pegawai Perubatan Baharuddin Baharom yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang memberitahu mahkamah bahawa Vaitheswaran mengalami “amnesia retrogred” atau hilang ingatan lepas akibat berlaku gegaran di bahagian otak.

Baharuddin, yang ditugaskan mengikut ambulans, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian dan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap Vaitheswaran, yang duduk di tepi jalan selepas nahas itu berlaku.

“Saya telah melakukan beberapa pemeriksaan tahap kesedaran mangsa yang mana kebanyakannya adalah ‘normal’, namun ketika ditanya mengenai kejadian itu, mangsa tidak dapat ingat semula,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim, yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, dan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam K. Paramanathan.

Perbicaraan bersambung Khamis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.