PAS bertindak kerana ada usaha ambil alih kerajaan melalui ‘atap’

PAS bertindak kerana ada usaha ambil alih kerajaan melalui ‘atap’

Hadi Awang berkata, terdapat usaha memecahkan pentadbiran kerajaan dalam kalangan pimpinan PH melalui tekanan dan desakan terhadap Mahathir Mohamad.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
PETALING JAYA:
Keputusan PAS mengambil alih Putrajaya bersama parti lain dalam Perikatan Nasional disebabkan wujud usaha dari Pakatan Harapan untuk menggulingkan Dr Mahathir Mohamad melalui “atap”.

Presidennya Abdul Hadi Awang berkata, terdapat usaha memecahkan pentadbiran kerajaan dalam kalangan pimpinan PH dengan cara yang dapat dilihat iaitu melalui tekanan dan desakan terhadap Mahathir yang sebelum ini dipersetujui dilantik sebagai perdana menteri ke-7.

“Ada perubahan melalui demokrasi, sama ada melalui pilihan raya umum atau melalui wakil rakyat yang dipilih rakyat. Ia apabila berlakunya kerja memecahkan diri sendiri oleh PH, bukan kami yang buat. Terdapat usaha gulingkan perdana menteri.

“Ia dengan cara menekan, desakan dan sebagainya. Ini adalah untuk ambil alih pemerintahan melalui atap, bukan pintu belakang. Maka PAS ambil langkah untuk ambil alih kerajaan demi selamatkan negara melalui proses demokrasi,” katanya dalam perutusan khas, hari ini.

Hadi berkata, kepincangan dalam PH dapat dilihat dengan jelas apabila gabungan parti yang terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP melakukan pusingan U sebanyak 2 kali, semasa krisis kepimpinan selepas Mahathir meletak jawatannya.

“Mereka kononnya menyokong Mahathir dan kemudian buat pusingan U tidak sokong Mahathir bagi memilih calon yang mereka pilih. Sebab itu kami buat keputusan untuk pilih Muhyiddin menjadi calon perdana menteri, halang pusingan U yang dibuat 2 kali.

“Ini satu penipuan yang nyata. Alhamdulillah akhirnya kita berjaya dengan cara demokrasi, bukannya pintu belakang, mengikut perlembagaaan yang sah. Ia tidak mengorbankan rakyat, tidak menyusahkan rakyat. Akhirnya kita berjaya bentuk Kabinet perpaduan umat,” katanya.

Hadi juga memberitahu keputusan Muhyiddin tidak melantiknya dalam kabinet Perikatan Nasional adalah supaya beliau dapat memantau prestasi menteri PAS yang berada dalam kerajaan.

“PAS hantar nama-nama untuk jadi menteri-menteri, timbalan yang terlibat dalam Kabinet. Kita hantar wakil-wakil kita untuk melaksanakan peranan eksekutif, untuk mengurus dan mentadbir bagi membuktikan kemampuan PAS.

“Parti perlu memantau, sebab itu saya sebagai presiden tidak dilantik jadi menteri Kabinet, untuk lebih berkesan parti memantau kerajaan, menteri-menteri dan timbalan kita di dalam kerajaan. Ini perlu difahami ahli-ahli PAS, khususnya dan mereka yang hendak belajar konsep politik Islam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.