Ejen pelancongan yakin menteri baru mampu pulih industri

Ejen pelancongan yakin menteri baru mampu pulih industri

Matta yakin pengalaman yang dimiliki Nancy Syukri dapat memulihkan kembali industri pelancongan yang merudum susulan Covid-19.

CEO Matta, Phua Tai Neng (kanan) semasa sidang media pada Pameran Cuti-Cuti Malaysia, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Ejen pelancongan berharap industri itu berkembang dengan lebih baik di bawah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang baru, Nancy Shukri.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Phua Tai Neng berkata, pihaknya yakin pengalaman yang dimiliki Nancy dalam mentadbir negara dapat memulihkan kembali industri pelancongan negara yang merudum susulan pelbagai isu termasuk Covid-19.

“Matta menyambut baik pelantikan Nancy sebagai menteri pelancongan baru, kami pernah jumpa beliau semasa dia jadi menteri ketika kerajaan dahulu, dia seorang yang bagus.

“Jadi harapan kami kepada beliau cukup tinggi, kami sedia bekerjasama untuk tingkatkan industri ini,” katanya semasa sidang media Pameran Cuti-Cuti Malaysia anjuran Matta.

Beliau juga berkata, pihaknya akan berbincang dengan ahli Matta berhubung isu-isu yang akan diketengahkan kepada menteri pelancongan.

Katanya, Matta akan mengadakan pertemuan dengan Nancy bagi membincangkan isu-isu semasa melibatkan industri pelancongan termasuk menangani Covid-19.

“Semalam beliau (Nancy) membuat kenyataan terhadap cabaran dengan situasi sekarang, kami akan memohon untuk jumpa beliau, sekarang ini beliau baru dilantik menteri, kita bagi ruang dan selepas itu kita akan jumpa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Phua berkata ejen pelancongan mengalami kerugian berganda, berikutan pembatalan atau penangguhan percutian akibat Covid-19.

Katanya, pembatalan yang berlaku baru-baru ini menyebabkan operator pelancongan menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM500 juta yang dikutip daripada pelanggan, untuk pakej pelancongan selepas Februari hingga Mei.

“Setakat ini tempahan bagi Februari hingga Mei untuk pelancong yang ingin keluar negara anggaran RM500 juta, membabitkan penangguhan dan pembatalan semua pekej pelancongan,” katanya sambil memaklumkan jumlah itu tidak mengambil kita kerugian mereka yang mahu melancong di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.