
Apandi yang merupakan peguam negara dari Julai 2015 hingga Mei 2018, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak pernah meminta kelulusannya sebagai pendakwa raya ketika itu untuk mengintip telefon Najib dan beberapa bekas pegawai kerajaan lain.
“Saya tidak tahu mengenai rakaman audio ini. Saya diminta ke Bukit Aman untuk memberi keterangan mengenai ini,” katanya ketika ditanya peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, mengenai sidang media SPRM pada 8 Jan lalu yang mendedahkan perbualan telefon itu.
Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengeluarkan 9 klip audio itu yang didakwa membabitkan Najib, isterinya Rosmah Mansor, bekas timbalan pendakwa raya, Dzulkifli Ahmad dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.
Klip itu turut dikatakan membabitkan Presiden UAE, Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Pengerusi Ipic, Sheikh Mansour bin Zayed al Nahyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Development Company dari Abu Dhabi, Khaldoon Al-Mubarak.
Anak tiri Najib, Riza Aziz, bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin dan bekas naib ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun turut dinamakan SPRM. Perbualan itu didakwa berlaku pada 6 Jan 2016 dan 29 Julai 2016.
Dalam klip audio pertama didakwa antara Dzulkifli dan Najib, Dzulkifli didengar berkongsi butiran siasatan dipercayai mengenai SRC International.
Apandi memberitahu mahkamah hari ini, beliau mengarahkan pihak berkuasa menutup kertas siasatan ke atas “sumbangan” RM2.6 bilion dan RM42 juta dana daripada SRC International yang dikatakan dimasukkan ke akaun bank Najib kerana beliau berpuas hati bekas perdana menteri itu tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.
“Seperti saya katakan saya sudah mengkaji dan membaca kertas siasatan halaman demi halaman, setiap muka surat.
“SPRM mengakui tiada kesalahan dilakukan.”
Katanya, beliau mengadakan sidang media pada 26 Jan 2016 untuk memberitahu orang ramai mengenai perkembangan terkini itu.
Dalam sidang media di Jabatan Peguam Negara itu, Apandi berkata, beliau membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku di bawah Akta SPRM dan Kanun Keseksaan.
Ditanya Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram sama ada beliau tahu Najib mengesahkan satu afidavit mengakui RM42 juta didakwa daripada SRC International itu dimasukkan ke akaunnya, Apandi berkata tidak.
Afidavit itu difailkan sebagai sebahagian saman fitnah terhadap bekas presiden MCA, Dr Ling Liong Sik.
Apandi berkata, beliau tidak ingat Dzulkifli pernah mencadangkan beliau menutup kertas siasatan ke atas “sumbangan” RM2.6 bilion dan kes SRC International.
Dzulkifli yang kemudiannya dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, ialah seorang daripada 6 timbalan pendakwa raya yang membantu Apandi meneliti kertas siasatan itu.
Perbicaraan disambung di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali esok dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh akan memberi keterangan.
Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaun peribadinya.
Beliau turut dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).