Kerajaan komited terus Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, kata Azmin

Kerajaan komited terus Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, kata Azmin

Azmin berkata WKB2030 penting dalam meletakkan negara di atas landasan pembangunan yang mampan dan inklusif.

Menteri kanan yang baru dilantik Mohamed Azmin Ali berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan diteruskan.
KUALA LUMPUR:
Mohamed Azmin Ali yang diumumkan sebagai menteri kanan yang memegang portfolio perdagangan antarabangsa dan industri dalam barisan Kabinet baru berkata, kerajaan Perikatan Nasional komited untuk meneruskan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Menurut Azmin yang sebelum ini menerajui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), WKB2030 penting dalam meletakkan negara di atas landasan pembangunan yang mampan dan inklusif.

“Kerajaan akan memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan menjaga kebajikan rakyat keseluruhannya,” katanya ketika mengulas pelantikan beliau dalam barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Azmin, 55, merupakan bekas timbalan presiden PKR dalam gabungan PH di peringkat persekutuan sebelum mengetuai sekumpulan 11 ahli Parlimen PKR menyertai PPBM yang diterajui Muhyiddin.

Azmin berkata beliau bersyukur kerana pembentukan jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional selesai dan mengucapkan tahniah kepada perdana menteri yang melaksanakan pembaharuan dan inovasi dalam struktur Jemaah Menteri agar lebih efisien, cekap dan berkesan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Gombak turut mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri yang memberikan kepercayaan untuk beliau memegang 1 daripada 4 jawatan menteri kanan tersebut.

“Saya menyedari tanggungjawab yang saya galas adalah amat berat memandangkan persekitaran ekonomi dan perdagangan global yang mencabar.

“Apatah lagi, Malaysia akan menganjurkan Persidangan Apec2020 yang bertemakan Kemakmuran Bersama dan bakal menjadi fokus penetapan hala tuju bagi kerjasama ekonomi dunia yang lebih dinamik dan terbuka,” katanya.

Muhyiddin menamakan 4 orang menteri kanan ketika mengumumkan Kabinetnya hari ini untuk memastikan ia sebuah Kabinet yang berfungsi serta dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih berfokus.

Selain Azmin, menteri kanan itu ialah Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.