Aktivis alam sekitar bimbang Tuan Ibrahim dilantik menteri alam sekitar baru

Aktivis alam sekitar bimbang Tuan Ibrahim dilantik menteri alam sekitar baru

Aktivis alam sekitar berkata hutan di negeri Kelantan musnah dan komuniti Orang Aslinya merana.

Timbalan presiden PAS dan ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai menteri alam sekitar yang baru dalam Kabinet Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Aktivis alam sekitar hari ini meluahkan kebimbangan berhubung prestasi Tuan Ibrahim Tuan Man selepas pemimpin PAS itu dilantik sebagai menteri alam sekitar yang baru.

Presiden Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata pihaknya berasa was-was dengan kerja dan perancangan pemimpin parti Islam itu dalam menerajui kementerian berkenaan.

“Tengok di Kelantan, teruk hutan sudah hancur dan komuniti Orang Asli merana,” katanya ketika dihubungi FMT.

Shariffa Sabrina Syed Akil

Petang tadi, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumunkan pembentukan 26 kementerian, termasuk 4 menteri kanan dalam barisan Kabinet baru beliau.

Empat menteri kanan yang dilantik ialah bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob; naib yang dipertua kanan PBB, Fadillah Yusof; dan ketua penerangan PPBM, Mohd Radzi Md Jidin

Barisan menteri kali ini menyaksikan seramai 9 daripada Umno, MCA dan MIC 1, PPBM 7, PAS 3, Gabungan Parti Sarawak 4, Parti Bersatu Sabah 1, dan 3 bekas pemimpin PKR yang menyertai PPBM baru-baru ini.

Shariffa Sabrina bagaimanapun berkata, beliau tetap mengharapkan yang terbaik daripada Tuan Ibrahim, terutama sekali melibatkan pindaan undang-undang berkaitan alam sekitar dan pembalakan.

“Harapnya, beliau boleh membuka pintu perbincangan untuk NGO seperti kami dan bekerjasama untuk masa depan alam sekitar yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Shakila Zen dari Persatuan Aktivis Sahabat Alam Sekitar berkata, beliau masih terkejut dan tidak percaya dengan lantikan tersebut, selain menyifatkannya sebagai “hari malang” buat Malaysia.

“Beliau tidak boleh menjaga negerinya sendiri,” katanya.

Tuan Ibrahim mewakili kerusi Parlimen Kubang Kerian di Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.