Adun Penanti Norlela ganti Afif sebagai exco P Pinang

Adun Penanti Norlela ganti Afif sebagai exco P Pinang

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata wakil rakyat 3 penggal itu dicalonkan PKR Pulau Pinang.

Norlela Ariffin akan mengangkat sumpah sebagai exco Pulau Pinang pada Khamis ini. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Adun Penanti daripada PKR, Norlela Ariffin dilantik sebagai exco Pulau Pinang menggantikan Dr Afif Bahardin yang meletak jawatan minggu lalu.

Norlela akan mengetuai Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang, jawatan yang dikosongkan Adun Seberang Jaya itu yang menyokong bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini berkata, PKR Pulau Pinang mencalonkan Norlela dalam surat yang diterimanya.

Istiadat angkat sumpah wakil rakyat 3 penggal itu akan diadakan di Seri Mutiara, kediaman Yang di-Pertua Negeri pada Khamis ini.

Afif yang meletak jawatan pada Rabu lalu dilaporkan berkata, beliau didesak PKR negeri dan pusat untuk meletak jawatan.

Beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR yang mendakwanya melakukan aktiviti sabotaj dengan mencetus dan/atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan dan pergolakan pada Kongres Nasional Pemuda PKR di Melaka pada 6 Dis tahun lalu dengan tujuan membatalkan kongres itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.