Politik berasas kaum masih releven, exco Pemuda PPBM tegur Syed Saddiq

Politik berasas kaum masih releven, exco Pemuda PPBM tegur Syed Saddiq

Sebagai ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq tidak perlu segan silu menyatakan pendirian, khususnya perkara membabitkan kepentingan kaum sendiri.

Exco Pemuda PPBM Muzzammil Ismail dan Ketua Pemudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
PETALING JAYA:
Seorang exco Pemuda PPBM hari ini menegur ketua sayap itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya tidak meletakkan parti itu dalam keadaan tersepit.

Muzzammil Ismail berkata, sebagai ketua Pemuda, Syed Saddiq tidak perlu segan silu menyatakan pendirian, khususnya perkara membabitkan kepentingan kaum sendiri.

“Kita tidak perlu segan dan apologetik apabila ada soalan seperti ‘are you Malaysian first or Malay first’ dan menyebabkan kita teragak-agak menjawab.

“Percayalah parti politik berasaskan kaum masih relevan pada masa sekarang, terutama untuk survival parti menghadapi sokongan rakyat pada PRU15,” katanya dalam satu kenyataan.

Muzzammil turut menguatkan hujahnya dengan berkata, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin sendiri secara jelas mahu menyelamatkan parti daripada kehilangan kuasa dan mandat rakyat khususnya Bumiputera.

“Parti PPBM berhadapan kesukaran untuk memenangi kawasan majoriti Melayu kerana defisit kepercayaan terhadap PH semakin membuak-buak.

“Isu ICERD, kenyataan Syed Saddiq tidak setuju dengan prinsip ketuanan Melayu, menghalau pulang Dr Zakir Naik, LTTE, tulisan jawi, dan desakan letak jawatan terhadap Tun Mahathir Mohamad adalah antara faktor-faktor yang membuatkan rakyat (orang Melayu) menolak PH,” katanya.

Katanya, sebagai pemimpin, sikap bermuka-muka untuk kekal berkuasa perlu ditolak.

“Seseorang boleh menjadi pemimpin kerana prinsipnya diangkat oleh pengikut. Sesebuah parti boleh berkuasa kerana ada pihak yang bekerja mendapatkan kuasa.

“Pemimpin perlu jelas tidak bermuka-muka untuk memastikan survival parti kekal berkuasa dan dapat mengangkat hala tuju parti dalam mempertahankan Melayu dan Islam.

“Jangan habis kempen dan menang, jadi liberal, ada yang bawa budaya anarkis, sokong LGBT dan sebagainya,” katanya yang juga lawan Syed Saddiq dalam merebut jawatan ketua Pemuda PPBM pada pemilihan parti itu April ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.