Belanda puji usaha Malaysia dapatkan kotak hitam MH17

Belanda puji usaha Malaysia dapatkan kotak hitam MH17

Prosiding jenayah ke atas 4 lelaki yang didakwa menembak jatuh pesawat MH17 akan bermula di Mahkamah Daerah The Hague esok.

Seorang pegawai Lembaga Keselamatan Belanda yang menyiasat insiden menembak jatuh pesawat Malaysia MH17 pada 2014 dalam satu sidang media di Nieuwegein, Belanda pada 19 Jun 2019. Di belakang beliau gambar 4 suspek yang didakwa menembak jatuh pesawat berkenaan dan mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal. (Gambar Bernama)
THE HAGUE:
Lembaga Keselamatan Belanda memuji pasukan dari Malaysia yang memberikan kerjasama mendapatkan kotak hitam pesawat MH17 dari lokasi ia terhempas yang berada di dalam kawasan bergolak di timur Ukraine, pada 2014.

Penyiasat kanan penerbangan, Gijsbert Vogelaar berkata, kotak hitam adalah bukti yang amat penting kerana ia mengandungi maklumat untuk membantu pihak lembaga dalam siasatan untuk mengenal pasti punca pesawat itu terhempas.

“Wakil Malaysia melaksanakan tugas yang cemerlang dalam mendapatkan perakam (kotak hitam),” katanya kepada wakil media Malaysia di sini dalam satu perjumpaan khas menjelang perbicaraan MH17 yang dijadualkan bermula esok (9 Mac).

Vogelaar berkata beberapa juruterbang dan anak kapal Malaysia Airlines dijemput untuk mendengar rakaman daripada kotak hitam itu bagi membantu siasatan.

“Kemudian kami dibantu oleh seorang lagi kapten Malaysia Airlines untuk mendengar perbualan rakaman itu kerana beliau sendiri mengenali juruterbang terbabit. Amat sukar untuk mereka (juruterbang dan anak kapal Malaysia Airlines) untuk mendengar rakaman itu tetapi mereka melakukan tugas mereka dengan baik,” kata beliau.

Pasukan yang ditugaskan memasuki lokasi MH17 terhempas di Ukraine untuk mendapatkan kotak hitam itu diketuai Kolonel Mohd Sakri Hussin yang pada masa itu bertugas sebagai penolong setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN) .

Kotak hitam itu terdiri daripada 2 kotak, 1 perakam suara kokpit dan 1 perakam data.

Perakam data penerbangan merakamkan aliran maklumat penerbangan, sementara perakam suara kokpit merakamkan perbualan dan bunyi lain di dalam kokpit.

Sementara itu, seorang anggota lembaga tersebut, Marjolein van Asselt berkata, hasil siasatan mereka tidak boleh digunakan sebagai bukti dalam perbicaraan MH17 dan ahli lembaga tidak boleh dipanggil sebagai saksi pakar dalam prosiding perbicaraan.

“Kami ketuai siasatan dan tugas kami sudah selesai. Saya sekarang seorang rakyat biasa apabila perbicaraan bermula. Kami boleh mengikuti prosiding, tetapi kami tidak boleh terlibat dalam perbicaraan. Kami telah menterjemahkan mandat kami ke tahap maksimum.

Laporan kami dan hasil siasatan kami tidak boleh digunakan di dalam perbicaraan. Kami berada di sini bukannya untuk dipersalahkan atau sebagai liabiliti,” katanya.

Beliau juga berkata perbicaraan itu tidak boleh mengembalikan mereka yang terkorban dalam nahas itu, tetapi mengimbau kembali perasaan mereka yang tersayang.

“Bagi saya ia adalah satu perasaan yang bercampur,” katanya.

Prosiding jenayah ke atas 4 lelaki yang didakwa menembak jatuh pesawat itu akan bermula di Mahkamah Daerah The Hague di Kompleks Kehakiman Schiphol, Badhoevedorp.

Mereka yang bakal didakwa ialah 3 rakyat Rusia Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov dan seorang warga Ukraine Leonid Kharchenko.

Pesawat penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum ia ditembak jatuh ketika melalui kawasan bergolak di timur Ukraine.

Nahas itu mengorbankan 298 orang termasuk 15 kru pesawat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.