Kalau tolak undi tak percaya, Hadi boleh bawa usul undi percaya kepada Muhyiddin, kata Loke

Kalau tolak undi tak percaya, Hadi boleh bawa usul undi percaya kepada Muhyiddin, kata Loke

Loke berkata undi percaya daripada Hadi boleh mengukur jumlah sokongan kepada Muhyiddin di Dewan Rakyat.

Setiausaha organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, Presiden PAS Abdul Hadi Awang boleh membawa usul untuk percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
KLANG:
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook mencadangkan supaya Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) membawa usul menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat Mei ini.

Cadangan kepada presiden PAS itu dibuat selepas Hadi menyifatkan cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk membawa usul undi tidak percaya berhubung pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri memberi gambaran seolah-olah gabungan politik itu tidak percaya kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Hadi kata usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin bermakna tidak percaya Agong.

“Baik saya cadang Hadi boleh buat usul undi percaya kepada Muhyiddin, kita bahas dan kita undi di Parlimen,” katanya bercakap pada program Ceramah Jelajah Pakatan Harapan di Klang malam ini.

Katanya dengan cara itu, ia dapat mengukur jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas Agong bersetuju melantiknya setelah mendapat sokongan majoriti wakil rakyat sebelum ini.

“Paling penting rakyat kena bertenang, sebarang tindakan kita mesti berpandukan perlembagaan,” katanya.

Semalam, Hadi berkata, keputusan Pakatan Harapan (PH) bercadang membuat usul undi tidak percaya berhubung pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri memberi gambaran ia itu tidak percaya kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membuat keputusan berkenaan selepas memanggil semua ahli Parlimen daripada setiap parti untuk mendengar pendapat dan pandangan mereka.

“Walaupun tuanku tidak terbabit politik, tetapi bila menghadapi masalah politik mestilah mengambil saluran yang betul mengikut perlembagaan.

“Mereka yang hendak buat undi tidak percaya, tidak percaya pada Agong, terpulang kepada rakyat untuk menilai mereka,” katanya dalam sidang media di Masjid Rusila, Marang.

Pada 1 Mac Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Sultan Abdullah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) perlembagaan persekutuan.

Ini berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada 24 Mac yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH.

Loke turut mendakwa PAS dan Umno mengharapkan pilihan raya umum diadakan dan tidak akan membiarkan Muhyiddin berkuasa terlalu lama.

“Matlamat mereka bukan nak Muhyiddin lama-lama (jadi perdana menteri), mereka nak buat pilihan raya semula. Mereka nak menang dan tubuh kerajaan, Umno akan jadi perdana menteri semula.

“Bayangkan nak tunggu 3 tahun lagi, Muhyiddin dah kuat… kita juga nak kena bersiap sedia, pilihan raya akan diadakan semula. Ini tak boleh kita ketepikan pilihan ini,” katanya.

Loke berkata, Muhyiddin juga menjadi perdana menteri dengan kedudukan kerajaan yang rapuh kerana jumlah ahli Parlimen yang menyokong mereka tidak jelas.

“Mereka tiada majoriti, hanya bergantung kepada beberapa ahli Parlimen bebas daripada Sabah dan Sarawak, kedudukan mereka sangat rapuh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.