
Semalam timbalan pengerusi Lujnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Uashawan PAS Mazli Noor menggesa supaya bank digabungkan berikutan kekurangan kecairan yang wujud dalam sistem kewangan negara.
Mazli berkata, penggabungan meluas dalam sektor berkenaan akan menyaksikan entiti yang digabungkan mencapai skala ekonomi, menstabilkan industri dan melindungi pengguna.
Bercakap kepada FMT, Yeah Kim Leng dari Sekolah Perniagaan Universiti Sunway berkata, penggabungan bank menjadi buah mulut sejak sekian lama berikutan kejayaan langkah konsolidasi industri berkenaan susulan krisis kewangan Asia pada akhir 1990-an.
Langkah konsolidasi itu katanya, berjaya membolehkan industri berdepan dengan krisis kewangan dunia 2007-2009.
Bagaimanapun kata beliau, pada masa kini, pihak berkuasa lebih cenderung untuk mengambil langkah “tidak campur tangan” dalam isu penggabungan dan pengambilalihan dengan membenarkan pemain industri membuat keputusan sendiri.
“Konsolidasi industri yang diarahkan oleh kerajaan besar kemungkinan tidak akan mencapai hasil optimum dan boleh menyebabkan pembayar cukai serta pemegang saham terpaksa membayar kos yang tinggi.
“Bank yang lebih lemah dan tidak mampu bertahan, besar kemungkinan akan dijual dengan isu seperti harga, penilaian dan kesesuaian strategik menjadi perkara utama yang akan dipertimbangkan,” katanya.
Berhubung kebimbangan bahawa bank lebih lemah boleh runtuh secara mengejut, Yeah berkata, ia bukan masalah besar berikutan pemantauan ketat oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam pada itu, Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkongsi sentimen sama dengan berkata, pembuatan keputusan berkaitan penggabungan bank hendaklah dibuat oleh institusi kewangan itu sendiri.
“Bagaimanakah kerajaan tahu bank sebesar mana baik untuk ekonomi?” soal beliau.
Beliau berkata, walaupun keadaan semasa boleh menyebabkan bank bergabung, namun keputusan mengenainya hendaklah datang daripada institusi berkaitan.
Tentang sama ada penggabungan baik atau sebaliknya, Ferlito berkata, bank lebih besar boleh menyokong sistem ekonomi negara.
“Tetapi, dari perspektif lain, lebih tinggi konsolidasi bank akan menyebabkan persaingan lebih rendah, sekali gus menawarkan pilihan lebih terhad kepada pengguna.
Seorang lagi pakar ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, tidak ada salahnya untuk meneroka kemungkinan penggabungan, termasuk penggabungan 4 bank terbesar di negara ini, iaitu Maybank, Public Bank, CIMB dan Hong Leong Bank.
Ini katanya, akan menyaksikan penubuhan 1 daripada 10 bank terbesar di Asia dan boleh menjadi pemain utama di rantau ini dengan mengambil kira kekuatan masing-masing bank tersebut.
Bagaimanapun, di sebalik itu, bank tempatan yang lebih kecil mungkin tidak dapat bertahan,” katanya.
Barjoyai percaya bank harus bergabung bukan disebabkan kekurangan kecairan dalam sistem kewangan, tetapi kerana pertumbuhan perbankan digital.
“Dalam tempoh 10-15 tahun lagi, bank mungkin tidak wujud dalam bentuknya yang ada sekarang. Saya percaya perbankan digital akan menguasai keadaan dan bank lebih kecil, tidak seperti bank lebih besar, tidak dapat melakukannya dengan berkesan.
“Justeru saya fikir bank kita perlu bergabung sekarang dengan memanfaatkan apa-apa yang mereka miliki dan memberi fokus kepada perbankan digital untuk muncul sebagai pemimpin pasaran di rantau ini,” katanya.