
Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata, rakyat Thailand yang pulang dari kawasan wabak berkenaan akan dikuarantin di pusat yang ditetapkan di negara itu.
Beliau berkata mereka yang pulang dari wilayah lain di Korea Selatan akan dibenarkan pulang ke rumah, tetapi pihak berkuasa kesihatan akan memantau keadaan mereka. Mereka yang menunjukkan gejala Covid-19 akan kekal di kemudahan kuarantin tersebut.
“Kerajaan mengambil langkah yang diperlukan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat. Kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kerajaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan mengenai Covid-19 di sini hari ini.
Prayuth, yang juga menteri pertahanan, berkata pihak berkuasa kesihatan akan meningkatkan penyaringan penumpang yang tiba dari Korea Selatan.
Thailand berusaha membawa pulang ribuan warganya yang bekerja di Korea Selatan termasuk ‘Phi Noi’, istilah yang merujuk kepada pekerja haram Thai di Korea Selatan, berikutan wabak Covid-19.
Bagaimanapun, jumlahnya tidak dinyatakan.
Kementerian Luar negara itu sedang mengusahakannya.
Kementerian Luar, Kedutaan Besar Thailand di Seoul dan Perkhidmatan Imigresen Korea (KIS) kini memantau keadaan pekerja Thailand tanpa dokumen yang berhasrat untuk pulang ke negara asal mereka.
Ketua pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Suwannachai Wattanayingcharoenchai memberi jaminan bahawa pegawai kesihatan mengambil -langkah pemantauan terhadap warga Thailand yang pulang dari Korea Selatan.