Covid-19: Jokowi sahkan 2 kes pertama di Indonesia

Covid-19: Jokowi sahkan 2 kes pertama di Indonesia

2 rakyat Indonesia pertama disahkan positif Covid-19 ialah seorang wanita dan anak perempuannya yang berasal dari Depok, sebuah kota berhampiran Jakarta.

Sebelum ini warga negara Indonesia yang positif virus Covid-19, berada di luar negara, iaitu 1 kes di Singapura dan 9 kes di dalam kapal persiaran Diamond Princess di Chiba, Jepun. (Gambar AP)
JAKARTA:
Presiden Indonesia Joko Widodo hari ini mengesahkan dua rakyatnya positif COVID-19, menjadikan ia kes pertama di negara berpenduduk lebih 270 juta orang itu.

Beliau berkata, 2 warganegara itu ialah seorang wanita berusia 64 tahun dan anak perempuannya, 31, berasal dari Depok, sebuah kota berhampiran Jakarta.

Jokowi berkata, kedua-dua rakyatnya itu dilaporkan bertemu dan berurusan dengan seorang warga Jepun yang ke Indonesia baru-baru ini, sebelum warga Jepun itu berlepas ke Malaysia yang kemudiannya disahkan positif virus itu.

“Orang Jepun (itu) ke Indonesia… ternyata orang yang terkena virus korona (Covid-19) bertemu dengan 2 orang, ibu 64 tahun dan anak perempuannya 31 tahun,” katanya di Istana Kepresidenan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Indonesia.

Menteri Kesihatan Indonesia Terawan Agus Putranto berkata, 2 warga Indonesia itu kini dirawat di Rumah Sakit Penyakit Infeksi Sulianti Saroso di Jakarta Utara.

Sebelum ini terdapat sejumlah warga negara Indonesia yang positif virus Covid-19, namun mereka berada di luar negara, iaitu 1 kes di Singapura dan 9 kes di dalam kapal persiaran Diamond Princess di Chiba, Jepun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.