Kemelut PPBM dibincang secara dalaman, kata ketua Wanita

Kemelut PPBM dibincang secara dalaman, kata ketua Wanita

Rina Harun berkata, perbezaan pendapat antara penyokong pengerusi dan presiden PPBM itu bukannya isu tidak boleh diselesaikan.

Rina Harun berharap kemelut politik negara selama seminggu lalu akan selesai selepas pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8.
KUALA LUMPUR:
Kemelut politik PPBM yang berlaku susulan perbezaan pandangan antara penyokong Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin berhubung pelantikan perdana menteri ke-8 akan dibincangkan secara dalaman, kata Ketua Wanitanya, Rina Harun.

Beliau berkata, perbezaan pendapat itu bukan isu yang tidak boleh diselesaikan.

“Kita ini satu keluarga, biasalah kadang-kadang lidah tergigit, kita akan selesaikan masalah dalaman ini dengan baik. Pucuk pimpinan tidak akan keluarkan sebarang kenyataan.

“Kita bagi peluang untuk tempoh bertenang. Kami ini pun semuanya ada banyak pengalaman dan ilmu yang diturunkan, kita masih lagi menghormati dia (Mahathir), tidak ada isu,” katanya selepas ke rumah Muhyiddin di Bukit Damansara hari ini.

Rina berharap kemelut politik negara akan selesai selepas pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8.

“Kita dah melalui seminggu kemelut yang dirasai bukan saya saja, tapi rakyat seluruh negara, jadi biar kita akhiri perkara ini dengan perkara lebih baik.

“Kita tak mampu lagi nak mengheret kemelut ini, kita tak nak lagi. Kita hentikan, kita nak teruskan usaha kita beri khidmat kepada rakyat.”

Ketegangan politik dalam PPBM memuncak selepas muncul kumpulan yang menyokong Muhyiddin dan Mahathir sebagai perdana menteri ke-8.

Pagi tadi, Mahathir dilaporkan berkata, beliau menjangkakan dirinya dipecat daripada PPBM, parti yang diasaskannya pada 2016, kerana majoriti ahli menolaknya sebagai pengerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.