Rakyat tak sokong Muhyiddin, kata pemimpin PKR

Rakyat tak sokong Muhyiddin, kata pemimpin PKR

Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, rakyat akan tampil menyuarakan sokongan mereka kepada PH semula jika pilihan raya mengejut diadakan.

Shamsul Iskandar Md Akin berkata, mereka yang menyokong Muhyiddin Yassin ditolak rakyat pada PRU14 lalu.
PETALING JAYA:
Rakyat mungkin menyokong Pakatan Harapan semula jika pilihan raya umum diadakan secara mengejut, kata Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau mempertikaikan gesaan Muhyiddin Yassin untuk rakyat menyokong pelantikannya sebagai perdana menteri ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

Bercakap selepas pengumuman Istana Negara, Muhyiddin dilaporkan berharap rakyat akan menerima keputusan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Shamsul bagaimanapun berkata: “Saya percaya gesaan ini ialah satu lagi cubaan untuk memberi kesahan terhadap pilihan ini (sebagai perdana menteri). Beliau menyeru semua rakyat Malaysia menyokongnya. Saya rasa beliau tahu rakyat Malaysia tidak menyokongnya pada pilihan raya lepas.

“Itu sebabnya saya rasa beliau membuat gesaan ini sebagai satu bentuk lencongan. Saya rasa rakyat Malaysia sangat jelas. Saya percaya jika pilihan raya diadakan, rakyat Malaysia akan tampil dan tunjukkan sokongan mereka kepada PH lagi.”

Beliau berkata, PH menyokong pencalonan Mahathir sebagai perdana menteri.

“Saya rasa kita amat jelas dengan pilihan kita (bagi jawatan perdana menteri).

“Rakyat memilih kerajaan PH pada pilihan raya umum ke-14. Jadi, saya rasa ia adalah pengkhianatan tahap tertinggi jika gabungan baru ini mendapat sokongan kerana mereka yang berada dalam kumpulan itu ditolak pada pilihan raya lalu.”

Kerajaan PH yang terdiri daripada PKR, PPBM, DAP and Amanah, tumbang selepas Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan PPBM serta 10 ahli Parlimen PKR meninggalkan gabungan itu.

Agong kemudiannya menarik balik pelantikan jawatan semua menteri dan melantik Mahathir sebagai perdana menteri sementara.

Semalam, PPBM bersama Barisan Nasional dan PAS mengumumkan pencalonan Muhyiddin sebagai perdana menteri baru.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dilaporkan mendakwa Muhyiddin mendapat sokongan 114 daripada 222 ahli Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.