
Setakat 10 malam ini, terdapat 21,900 tweet menggunakan hashtag itu.
Seorang pengguna Twitter “RIP Democracy” berkata, presiden PPBM itu bukan perdana menterinya kerana majoriti rakyat Malaysia tidak mengundi beliau pada pilihan raya umum 2018.
Katanya, undi rakyat Malaysia kini tidak bermakna.
“Kami undi BN (Barisan Nasional) disingkirkan, hanya untuk melihat mereka kembali berkuasa tanpa persetujuan kami. Sila beritahu saya jika ini ialah demokrasi yang anda semua katakan?”
Romeo Rajini Shan pula berkata, rakyat mengundi untuk menyingkirkan kleptokrat pada PRU14 dan pelantikan baru ini ialah “tanda tidak menghormati pengundi”.
Seorang lagi pengguna Twitter “Master Alvin” mempersoalkan tujuan mengadakan pilihan raya, jika “penyangak dan kroni” kembali ke kerajaan “tanpa dipilih (rakyat)” selepas mereka digulingkan melalui undi.
Ada dalam kalangan pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Muhyiddin mahu mengadakan bantahan di Dataran Merdeka.
Ramai daripada mereka yang menggunakan hashtag #NotmyPM turut berkongsi laporan berita pelantikan Muhyiddin.
Petang tadi, Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin menjadi perdana menteri baru selepas mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.
Kemelut politik tercetus selepas Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin lalu.
Yang di-Pertuan Agong kemudiannya melantik Mahathir sebagai perdana menteri sementara dan menemu bual 220 ahli Parlimen untuk menentukan siapa yang mempunyai sokongan mencukupi bagi menubuhkan kerajaan baru.
Muhyiddin dijangka mengetuai kerajaan baru yang terdiri daripada PPBM, Umno, PAS dan ahli Parlimen lain. Gabungan baru itu dijangka dikenali sebagai Perikatan Nasional.