DAP Sarawak sedia kerjasama dengan GPS untuk pertahan kerajaan PH, kata Chong

DAP Sarawak sedia kerjasama dengan GPS untuk pertahan kerajaan PH, kata Chong

Chong berkata, Umno dan PAS adalah kombinasi antara kleptokrat dengan pelampau agama yang akan memusnahkan negara dan generasi masa depan.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, GPS harus memilih antara gabungan kleptokrat dan pelampau agama Umno-PAS atau gabungan progresif PH.
KUCHING:
DAP Sarawak sedia membuat konsesi dan bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kepentingan negara, kata pengerusinya Chong Chieng Jen.

“Demi kepentingan negara, DAP Sarawak bersedia membuat konsesi dan bekerjasama dengan GPS bagi mengekalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menghalang ekstremis daripada merampas kuasa melalui jalan pintu belakang.

“Selepas seminggu kemelut politik berlaku, ia kini terserah kepada 2 blok gabungan politik dengan GPS dan Warisan Sabah menjadi kata penentu kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chong berkata, beliau “gementar” memikirkan gabungan Umno-PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, parti bekenaan (Umno dan PAS) adalah kombinasi antara kleptokrat dengan pelampau agama yang akan memusnahkan negara dan generasi masa depan.

“Negara ini berada di persimpangan jalan dan GPS mesti membuat keputusan antara memilih untuk menyertai gabungan kleptokrat dan pelampau agama Umno-PAS atau mengekalkan gabungan progresif PH.

“Saya merayu pemimpin GPS supaya mengetepikan perbezaan politik lampau dan bekerjasama dengan PH untuk menyelamatkan negara kita daripada mengambil jalan kemusnahan.

“Bagi pihak DAP Sarawak, kami bersedia membuat konsesi dan mengetepikan perbezaan untuk bekerjasama dengan GPS demi kepentingan negara,” katanya.

Terdahulu Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing berkata, GPS tidak akan menyokong gabungan politik yang melibatkan DAP berikutan krisis politik yang berlaku.

Masing berkata, susulan “keangkuhan pentadbiran” DAP, misalnya kenyataan setiausaha agungnya dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng yang berkata Sarawak akan bangkrap dalam masa 3 tahun ketika melawat negeri itu tahun lepas.

“Sebagai menteri kewangan kenyataan Lim itu tidak bertanggungjawab. Bagi kami itu adalah keangkuhan pentadbiran,” katanya.

Selain itu, Masing berkata, kepentingan negara dan Sarawak juga perlu diambil kira.

Pada Selasa, GPS menyuarakan sokongan kepada perdana menteri interim Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin Putrajaya.

Bagaimanapun ia akan menarik balik sokongan itu sekiranya kepentingan Sarawak diketepikan.

Ini termasuklah hak istimewa Sarawak yang terkandung dalam perlembagaan persekutuan seperti tercatat dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang tidak boleh dirundingi.

Hak istimewa itu termasuk autonomi imigresen, hak ke atas cukai seperti pengenaan cukai jualan, yuran pelabuhan untuk pelabuhan negeri, royalti ke atas galian dan balak, hak ke atas sumber alam termasuk tanah, perlindungan sempadan negeri sehingga Pentas Benua negeri itu dan hak menggubal rancangan pembangunan negeri dan mengisytiharkan wilayah pembangunan sendiri di bawah Perkara 95E perlembagaan persekutuan.

GPS dilaporkan akan bermesyuarat di Kuala Lumpur Ahad ini berhubung pendirian parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.