
Antara pemimpin yang dilihat ialah Ahli Parlimen Semporna Shafie Apdal; Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Alor Gajah Redzuan Md Yusof dan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan.
Turut kelihatan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Titiwangsa Rina Harun; Ahli Parlimen Selangau Baru Bian; Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin dan Ahli Parlimen Saratok Ali Biju.
Hishammuddin sewaktu ditemui pemberita berkata, beliau hadir ke kediaman Muhyiddin secara kebetulan memandangkan terdapat ahli keluarganya yang hadir ke kediaman bekas menteri Dalam Negeri itu.
“Saya berada di mana-mana dan orang ramai menuduh saya atas pelbagai perkara dalam tempoh 2 tahun ini. Apa yang berlaku adalah saya tetap menunjukkan konsisten saya. Saya tidak pernah khianati parti.
“Saya datang ke sini secara kebetulan, kerana ada urusan keluarga. Jadi, kami tidak tahu mengenai PPBM mengadakan pertemuan pada pagi ini.

“Kami luangkan masa kerana saya sudah bersama Muhyiddin sejak sekian lama, sepertimana Dr Mahathir Mohamad,” katanya sewaktu ditemui pemberita.
Bagaimanapun, pemimpin lain enggan memberikan sebarang komen dan ulasan mengenai pertemuan mereka pada hari ini.
Muhyiddin Yassin dilihat hampir pasti menjadi perdana menteri ke-8, susulan pertemuan 36 ahli Parlimen PPBM hari ini bagi mencalonkan namanya untuk jawatan tertinggi itu selepas Istana Negara mengumumkan ia akan bertemu ketua pimpinan parti politik sebelum membuat keputusan.
Mesyuarat hari ini juga dihadiri 10 ahli Parlimen terbaru PPBM – kumpulan ahli Parlimen PKR yang keluar parti susulan pemecatan bekas timbalan presidennya, Azmin Ali.
Kira-kira 1 jam kemudian, PAS dan Umno mengesahkan semua 57 ahli Parlimen mereka menyokong Muhyiddin. Setiausaha Agung Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan mengesahkan sokongan itu dalam kenyataan ringkas.