
Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, perdana menteri ke-8 juga boleh memilih barisan Kabinetnya tanpa perlu bergantung kepada jumlah ahli Parlimen atau kekananan dalam parti.
“Dengan ini, menteri bebas menjalankan tugas mereka tanpa pengaruh ideologi parti dan dasar parti.
“Kebaikan sistem ini adalah untuk memastikan ahli Kabinet yang dilantik benar-benar berprestasi tinggi, tidak bergantung kepada kuota politik,” katanya kepada FMT.
Beliau menjangkakan golongan teknokrat atau profesional akan menyertai Kabinet nanti dan mungkin berlakunya pemusatan kuasa oleh perdana menteri.
Tetapi, katanya, pembentukan kerajaan tidak berpartisan akan menguburkan amalan demokrasi kerana rakyat sudah memberi mandat mereka kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14.
“Sudah pasti ahli dan pemimpin parti politik di pelbagai peringkat belum bersedia menerima kejutan sistem yang agak asing ini dan kekecewaan akan terhasil akibat pemusatan tenaga, meskipun atas nama pelantikan golongan teknokrat.
“Sedangkan golongan teknokrat boleh sahaja dilantik dalam sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memacu ekonomi negara.”
Kelmarin, Perdana menteri sementara, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, pembentukan kerajaan “tidak memihak kepada mana-mana parti” ialah penyelesaian terhadap kemelut politik semasa.
“Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang.
“Jika dibenarkan, saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.”
Semalam, Mahathir mengumumkan Dewan Rakyat akan bersidang pada 2 Mac ini untuk memilih perdana menteri ke-8 kerana tiada majoriti ketara untuk menubuhkan kerajaan baru.
Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, cadangan kerajaan tanpa memihak mana-mana parti ialah idea menarik, tetapi sukar dilaksanakan.
Katanya, ini berdasarkan suasana politik ketika ini, di mana banyak keputusan dibuat bersandarkan parti.
“Pertama, perdana menteri menubuhkan kerajaan begini memerlukan mandat yang besar. Maksudnya dalam Dewan Rakyat itu perlu sokongan melebihi majoriti 2/3.
“Kedua, ikut percaturan politik sekarang, suasana politik ketika ini, banyak keputusan dibuat bersandarkan keputusan parti. Ini menunjukkan 222 ahli Parlimen akan lebih mementingkan keputusan parti.”