Tunisia umum kerajaan baru, elak pilihan raya awal

Tunisia umum kerajaan baru, elak pilihan raya awal

Perdana menteri lantikan Elyas Fakhfakh mengumumkan pakatan kerajaan baru selepas mencapai persetujuan dengan parti Islamis sederhana, Ennahda.

Perdana menteri lantikan Tunisia, Elyas Fakhfakh. (Gambar AP)
TUNIS:
Perdana menteri lantikan Tunisia, Elyas Fakhfakh semalam mengumumkan pakatan kerajaan baru selepas mencapai suatu persetujuan dengan parti Islamis sederhana, Ennahda, kuasa terbesar di Parlimen, menamatkan krisis politik yang berlarutan selama 4 bulan.

Dengan persetujuan itu, kerajaan baru itu kemungkinan menang undi percaya di Parlimen pada hari-hari mendatang dan Tunisia boleh mengelakkan pilihan raya awal.

Fakhfakh mencadangkan barisan baru kerajaan pada Sabtu dan berkata rundingan diteruskan selepas Ennahda meminta beberapa perubahan.

Presiden Kais Saied pada Isnin berkata beliau akan membubarkan parlimen dan memanggil pilihan raya awal sekiranya kerajaan baru gagal menang undi percaya di Parlimen.

Fakhfakh mengemukakan senarai calon-calon Kabinet kepada Presiden Saied, dengan Nizar Yaich sebagai menteri kewangan, Nourredine Erray sebagai menteri luar negeri, dan Imed Hazgui sebagai menteri pertahanan.

Kerajaan baru itu mesti diluluskan Parlimen yang berpecah-belah pada hari-hari mendatang.

Antara lain yang dicadangkan sebagai menteri adalah Mongi Marzouk sebagai menteri tenaga, Mohamed Ali Toumi sebagai menteri pelancongan, dan Thouraya Jribi sebagai menteri keadilan.

Fakhfakh sebelum ini berkata beliau mahukan sebuah kerajaan yang berdasarkan nilai-nilai revolusi 2011 yang akan menangani pengangguran dan perbaiki perkhidmatan awam.

Kabinet yang dicadangkan itu termasuk parti Ennahda, Tahya Tounes, Achaab, Attayar, El Badil, dan wakil-wakil rakyat bebas.

Tunisia berdepan cabaran ekonomi jangka panjang yang mengancam untuk melemahkan kepercayaan awam terhadap demokrasi baru itu, yang menuntut keputusan-keputusan politik yang mungkin tidak popular.

Pegawai kerajaan Tunisia berkata IMF menunggu kerajaan baru memulakan rundingan mengenai kajian ke-6 program pinjaman IMF. Tunisia perlu meminjam AS$3 bilion pada 2020 bagi memenuhi komitmen perbelanjaannya.

Sejak revolusi 2011, pengangguran tinggi dan pertumbuhan rendah, manakala kerajaan semakin dibebani hutang dengan defisit belanjawan yang besar.

Pilihan raya pada September dan Oktober mengembalikan Saied, seorang wakil rakyat bebas, sebagai presiden, dan Ennadah ke Parlimen dengan bilangan kerusi kurang daripada sepertiga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.