
Secara umum, prosedur pembedahan dalam dunia perubatan dilakukan selepas pesakit diberi sedatif agar dia tidak sedar sepanjang berlangsungnya pembedahan itu.
Namun apa yang dilakukan oleh sekumpulan pakar bedah di King’s College Hospital, London, England sangat berbeza dan unik.
Ini kerana ketika doktor melakukan pembedahan untuk membuang tumor otak daripada seorang pesakit wanita, dia memutuskan untuk bermain violin sepanjang prosedur itu berlangsung.
Pesakit yang dikenali sebagai Dagmar Turner, 53 secara langsung terus bermain violin ketika sekumpulan doktor memotong tengkoraknya dan melakukan prosedur di dalam otaknya.
Apa yang menakjubkan, memetik laporan Reuters, Turner kelihatan kusyuk bermain violin ini kerana sebahagian lagi otaknya masih berfungsi untuk mengawal bahasa dan pergerakan.
Prosedur pembedahan sambil bermain violin ini dilakukan bagi memastikan doktor tidak merosakkan bahagian penting di otak Turner yang secara khusus mengawal pergerakan tangan dan memastikan kelancaran Turner ketika memainkan biola.
Turner dilihat memainkan muzik Gustav Mahler dan bagi Profesor Keyoumars Ashkan ini pengalaman pertamanya apabila pesakit mahu berada dalam keadaan sedar ketika pembedahan.

“Ini adalah kali pertama saya mempunyai pesakit memainkan alat muzik,” kata Ashkan, seorang pakar tumor otak yang juga seorang pemain piano yang berjaya dan memegang ijazah dalam muzik.
“Kami berjaya mengeluarkan lebih daripada 90% daripada tumor, termasuk bahagian yang disyaki mempunyai penyebaran agresif, sambil mengekalkan fungsi tangan kirinya secara keseluruhan,” katanya.
Bagi Turner jika dia hilang keupayaan untuk bermain violin merupakan sesuatu yang mengecewakan kerana dia sudah mula mencintai bermain violin sejak berumur 10 tahun.
Selepas 3 hari pembedahan, Turner dibenarkan pulang ke rumah untuk bersama dengan suami dan anaknya.
“Saya berharap dapat kembali menyertai pasukan okestra saya secepat mungkin,” kata Turner selepas kejayaan pembedahannya.
Turner bermain untuk Okestra “Isle of Wight Symphony”.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]