
Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertingggi di negara kita dalam keputusan majoriti 4-3 memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan dengan nama bapanya.
Panel 7 hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemukakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan 3 tahun lalu terhadap isu berkenaan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan kali ini sekaligus memberi kata muktamad terhadap isu terbabit di negara kita.
Tumpuan kini harus diberikan semua pihak terhadap masa depan kanak-kanak yang dilahirkan luar nikah ini supaya mereka dapat menjadi sebahagian daripada kita semua.
Isu ini mendapat perhatian ramai di negara kita apabila pertikaian mula timbul terhadap Seksyen 13A (2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
Seksyen 13A (2) akta itu memperuntukkan “nama keluarga, jika ada, yang hendaklah dicatatkan berkenaan anak tidak sah taraf boleh jika ibunya adalah pemberitahu dan secara sukarela memberi maklumat itu, menjadikan nama ibunya sebagai nama keluarganya; dengan syarat jika orang yang mengaku dirinya menjadi bapa kanak-kanak itu mengikut peruntukan Seksyen 13 meminta sedemikian, maka nama keluarga bolehlah diletak atas nama keluarga orang itu”.
Berdasarkan Seksyen 13A (2) Akta 299, ramai beranggapan tiada keperluan meletakkan nama bapa “Abdullah” pada anak yang dilahirkan luar nikah, baik anak orang Islam ataupun bukan Islam di negara kita.
Keputusan yang diambil JPN selama ini dengan meletakkan nama “bin/binti Abdullah” dibuat berdasarkan fatwa yang dikeluarkan.
Perlu diketahui, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali pertama yang bersidang pada 28 hingga 29 Jan 1981 membincangkan penamaan anak tak sah taraf (anak luar nikah).
Muzakarah berkenaan memutuskan anak luar nikah sama ada diikuti perkahwinan kedua ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan kepada nama “Abdullah”.
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bermuzakarah pada 10 Jun 2003 pula bersetuju mendefinisikan anak tak sah taraf seperti berikut:
1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).
Walaupun keputusan telah diberikan Mahkamah Persekutuan terhadap isu ini, masih ada beberapa pihak yang dilihat kurang senang dengannya.
Pihak yang tidak berpuas hati perlu melihatnya dari sudut positif kerana keputusan Mahkamah Persekutuan itu dapat melindungi hak umat Islam dalam banyak perkara, khususnya berkaitan pentadbiran dan perjalanan undang-undang keluarga Islam seperti status sah taraf anak, perkahwinan dan pembahagian harta pusaka.
Pada masa sama, pihak berkaitan perlu mengambil langkah dan memfokuskan nasib, kebajikan serta keselamatan kanak-kanak ini daripada menjadi mangsa ejekan serta diskriminasi orang ramai yang mungkin memandang serong individu dibin atau dibintikan “Abdullah”.
Setiap kanak-kanak yang lahir walaupun di luar nikah tidak bersalah dan tidak berdosa. Kanak-kanak ini tidak sepatutnya mewarisi segala dosa ibu bapa mereka.
Langkah perlu diambil bagi melindungi hak anak terbabit daripada menjadi mangsa mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
Adalah penting isu ini diselesaikan dengan cara baik, matang serta profesional dengan mengutamakan nasib dan masa depan kanak-kanak terbabit, di samping tidak melanggar sebarang prinsip atau undang-undang yang ditetapkan dalam agama Islam serta keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.
Bagi melindungi nasib, kebajikan serta keselamatan kanak-kanak terlibat, semua pihak berkaitan, khususnya NGO yang lantang bersuara mengenai perkara ini, jabatan agama Islam, JPN serta kementerian berkaitan harus berbincang bagi mencari penyelesaian.
Semua pihak berkaitan harus mengetepikan ego masing-masing serta memberi fokus bagi mengutamakan nasib, kebajikan dan keselamatan kanak-kanak terlibat supaya isu ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa melukakan hati dan perasaan mana-mana pihak.
Muzaffar Syah Mallow ialah pensyarah syariah dan undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.