
Penyanyi John Legend yang terkenal dengan lagu “All of Me” menegaskan sudah tiba masanya untuk bercakap mengenai hak kemanusiaan di Palestin.
Beliau ketika ditemu ramah dalam edisi terbaru rancangan “Real Time HBO” bersama Bill Maher menyuarakan sokongan terhadap hak asasi manusia yang sewajarnya berlaku di Palestin.
Sebelum ini, tercetus kontroversi seorang ahli kongres Amerika Syarikat, Ilhan Omar memohon maaf dalam satu rancangan dan akui wang alasan sebalik sokongan kepada Israel.
Apabila Maher bertanyakan adakah alasan Omar itu harus dikritik atau sebaliknya, Legend, 40, berpendirian untuk memihak kepada rakyat Palestin.
“Sebagai progresif, kita juga harus bercakap tentang hak asasi manusia untuk rakyat Palestin, dan sudah terlalu lama, saya fikir, progresif tidak memperjuangkan hak rakyat Palestin,” katanya.
Pemenang anugerah Grammy, Tony, Emmy dan Oscar ini menambah: “Ini hak dan pandangan progresif untuk bercakap mengenai hak Palestin”.
Ini bukan kali pertama Legend menyatakan sokongan kepada Palestin. Pada 2014, beliau dalam ucapannya kepada graduan Universiti Pennsylvania menyeru para pelajar lebih berperikemanusiaan terhadap konflik Palestin.
“[Cinta] bermakna kita melihat anak muda Palestin tidak sebagai ancaman keselamatan masa depan atau cabaran demografi, tetapi sebagai ayah, ibu dan kekasih masa depan,” kata Legend.
“Jika anda komited untuk menyayangi orang ramai, anda perlu buka mata terhadap ketidakadilan, melihat dunia melalui mata orang lain.”
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]