
Peguam Derek Fernandez berkata, kelemahan tadbir urus yang timbul dengan adanya Kementerian WP adalah jelas dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (KLCP 2020).
Katanya, pelan itu diwartakan kerajaan baru dengan 273 lencongan daripada drafnya tanpa rundingan awam.
“Kebanyakan 273 penyimpangan itu tidak pernah pun dicadangkan dalam draf pada mulanya.
“Pelancaran draf Pelan Struktur KL 2040 kini dipertikaikan kerana kredibiliti KLCP 2020 diragui,” katanya kepada FMT.
Fernandez berkata, Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mempunyai struktur tadbir urus sendiri seperti PBT yang dinamakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya serta Perbadanan Labuan.
“Daripada perspektif tadbir urus dan pentadbiran awam yang baik, tiada keperluan untuk mempunyai Kementerian WP,” katanya sambil menambah struktur tadbir urus masing-masing itu boleh beroperasi secara bebas.
“Malah, kewujudan kementerian ini dengan kuasa mengatasi dan mengarahkan datuk bandar KL atas perkara tertentu sebenarnya mengganggu kemampuan datuk bandar untuk menjalankan tugasnya dengan baik.”

Katanya, cara terbaik untuk memastikan semak dan imbang ialah tidak mempunyai menteri WP yang boleh mengatasi datuk bandar, tetapi mempunyai struktur tadbir urus di mana tiada siapa yang memiliki terlalu banyak kuasa.
“Jika anda lihat PBT lain, mereka mempunyai seorang datuk bandar dan 24 ahli majlis yang membuat keputusan dengan undi majoriti untuk memastikan kuasa tidak tertumpu di tangan seseorang.”
Tetapi dalam kes DBKL, katanya, ia tiada ahli majlis atau orang lain dengan kuasa mengundi dan disebabkan struktur itu, datuk bandar sebenarnya perlu mematuhi arahan menteri WP.
Fernandez berkata, datuk bandar dan ahli majlis perlu dipilih untuk memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam pembuat keputusan kerajaan tempatan.
“Tetapi dalam mana-mana kes, dengan kebanyakan majlis tempatan, kerajaan negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melakukan pengawasan. DBKL perlu mengikut struktur sama ini,” katanya sambil menambah ahli Parlimen KL juga perlu membantu dalam pengawasan.
“Ia juga memerlukan penyertaan awam lebih baik dalam proses membuat keputusan dan akses kepada maklumat yang secara amnya mengalami kekurangan.”