
“Pemahaman saya – pemahaman saya yang amat jelas – daripada peringkat tertinggi kerajaan Malaysia ialah sejak awal lagi mereka menganggap ia ialah pembunuhan-bunuh diri oleh juruterbang,” kata Abbott yang menjadi perdana menteri ketika pesawat hilang 6 tahun lalu, kepada dokumentari Sky News yang baru.
Penerbangan Malaysia Airlines yang dalam perjalanan ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan kru itu hilang kira-kira 40 minit selepas meninggalkan Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
Kehilangan pesawat itu dianggap satu daripada misteri terbesar penerbangan, serta ia berakhir dengan misi mencari dan menyelamat paling lama serta mahal dalam sejarah.

Timbul beberapa teori konspirasi berhubung kehilangan itu, termasuk juruterbang kanannya yang berusia 53 tahun, Zaharie Ahmad Shah sengaja melencongkan pesawat itu daripada laluan biasa selepas kata-kata terakhirnya “Selamat malam. Malaysian 3-7-0” sebelum pesawat itu hilang daripada radar pada 1.21 pagi.
Teori “juruterbang jahat” bagaimanapun ditepis rakan Zaharie dan juruterbang lain.
Abbott dalam wawancara itu enggan mendedahkan identiti pegawai Malaysia terbabit.
“Saya tidak akan beritahu siapa cakap apa kepada siapa. Tetapi, biar saya ulangi – Saya mahu terangkan – ia difahamkan di peringkat tertinggi yang ini hampir pasti (kes) pembunuhan dan bunuh diri oleh juruterbang. Pembunuhan beramai-ramai dan bunuh diri oleh juruterbang,” katanya dipetik news.com.au.
Tetapi, Abbott berkata, beliau tidak mengesyaki ada konspirasi untuk menyembunyikan dakwaan rancangan pembunuhan oleh juruterbang itu, tetapi menyokong sebarang langkah membuka semula siasatan.
“Mari anggap ia adalah pembunuhan-bunuh diri oleh juruterbang, dan jika ada mana-mana kawasan di lautan itu yang boleh dicapai atas dasar ia belum diterokai, mari kita terokainya.”