
Azmin berkata fokusnya kini adalah untuk mengukuhkan ekonomi untuk kebaikan rakyat, terutamanya berikutan penularan wabak Covid-19 di China yang menjejaskan sektor perniagaan.
Azmin berkata, penularan wabak itu menjejaskan industri pelancongan apabila banyak pelancong membatalkan rancangan untuk melawat Malaysia.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia,” katanya.
“Banyak sangat politik, hentikannya dan beri sokongan kepada perdana menteri untuk memimpin negara.”
Beiau berkata demikian dalam satu ucapan pada majlis makan malam Tahun Baru Cina di sini, yang dianjurkan bersama oleh kawasan Parlimen Ampang dan DUN Bukit Antarabangsa yang diwakilinya.
Azmin, yang juga merupakan timbalan presiden PKR, sering menyuarakan sokongan kepada Mahathir.
Oktober lalu, beliau mendesak Mahathir supaya kekal sebagai perdana menteri untuk tempoh sepenggal. Kenyataan itu juga diterima pakai oleh PAS, yang bercadang untuk membentang usul undi percaya kepada Mahathir di Dewan Rakyat .
Pada majlis yang berasingan hari ini, bekas setiausaha politik presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa Azmin merupakan orang tengah yang mengatur pertemuan antara pemimpin PAS dengan Mahathir.
Langkah PAS itu dilihat sebagai usaha untuk menghalang Anwar dilantik sebagai perdana menteri selepas Mahathir.
Di bawah perjanjian yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14, Mahathir sepatutnya menyerahkan kuasa kepada Anwar, walaupun tiada tarikh tepat ditetapkan.
Dalam pada itu bendahari PKR William Leong turut mendesak satu “pelan B” dilaksanakan bagi memastikan Anwar menjadi perdana menteri
Leong yang juga ahli Parlimen Selayang berkata, perkembangan semasa menunjukkan Mahathir tidak mengubah cara “diktato nya” walaupun rakyat, termasuk anggota PKR, memberi peluang kepadanya untuk membuktikan beliau sudah berubah, terutamanya kerana keengganannya menetapkan tarikh tepat penyerahan kuasa kepada Anwar.