Seorang lagi pesakit bebas Covid-19 dibenar pulang ke China

Seorang lagi pesakit bebas Covid-19 dibenar pulang ke China

Wanita warga China itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Permai, Johor dan merupakan individu ke-15 disah positif Covid-19 di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan kes sembuh jangkitan Covid-19 dan didiscaj adalah 8 individu, sementara 14 lagi masih menerima rawatan di wad. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Seorang wanita warga China yang sebelum ini dimasukkan ke Hospital Permai, Johor selepas dijangkiti Covid-19, dibenarkan pulang apabila disahkan pulih sepenuhnya daripada virus berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, wanita itu merupakan individu ke-15 positif Covid-19 di Malaysia.

Beliau dibenarkan pulang ke China, semalam.

Terdahulu, wanita berusia 59 tahun itu tiba ke negara ini bersama suami, anak lelaki dan menantunya pada 21 Jan lalu dari Singapura.

Beliau dilaporkan mengalami gejala demam pada 26 Jan dan hanya mengambil ubat demam yang dibeli oleh anaknya di farmasi berdekatan hotel mereka di Johor Bharu.

Dengan kes sembuh ini, Wan Azizah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan 8 kes yang didiscaj dan seramai 14 orang masih menerima rawatan di wad.

“Bagi 8 kes yang didiscaj, mereka menjalani ujian pengesanan ulangan Covid-19 dan didapati negatif sebanyak 2 kali berturut-turut,” katanya selaps hadir mesyuarat JPBP di Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Imigresen Indera Khairul Dzaimee.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, tiada kes baru dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kes Covid-19 setakat ini seramai 22 orang.

Semalam, seorang warganegara Amerika Syarikat (AS) sah positif jangkitan itu menjadikannya kes ke-22 positif wabak tersebut.

Wanita berusia 82 tahun itu merupakan salah seorang penumpang kapal persiaran yang berlabuh di Kemboja pada 13 Feb dan memasuki negara ini dalam penerbangan transit ke AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.