Penggabungan UMT, UniSZA belum muktamad, kata naib canselor

Penggabungan UMT, UniSZA belum muktamad, kata naib canselor

UMT dalam satu kenyataan pada 14 Feb berkata, selaku pemangku menteri pendidikan, Mahathir bersetuju menyambung semula kontrak Nor Aieni bagi melancarkan pentadbiran serta menyelesaikan urusan universiti.

Naib Canselor UMT Prof Nor Aieni disambung tugas sehingga 12 April depan setelah diarah bercuti berkuat kuasa 30 Dis tahun lepas.
KUALA NERUS:
Cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisSZA) masih lagi di peringkat perbincangan setakat ini.

Naib Canselor UMT Prof Nor Aieni Mokhtar berkata, terdapat pelbagai perkara yang perlu dilihat dan dipertimbangkan, sebelum sebarang keputusan mengenai cadangan tersebut dibuat.

“Tun (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) ada beritahu saya perkara itu (penggabungan) perlu dibincangkan lagi.

“Hendak putuskan perkara itu perlu ada sesi konsultasi, mengukur kos (dan) faedah, dari segi cadangan ia akan ambil masa, tetapi benda itu kita akan lihat dan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.

“Belum ada apa-apa keputusan lagi. Setakat ini, masih di peringkat perbincangan,” katanya selepas menghadiri Program Perhimpunan Warga Staf dan Pelajar, di UMT di sini hari ini.

Katanya pertemuan bersama Mahathir itu adalah ketika sesi Pertemuan Kunjungan Hormat Naib Canselor Universiti Awam ke YAB Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Khamis (13 Feb).

Dalam perkembangan lain Nor Aieni yang kembali menjalankan tugas sebagai naib canselor UMT berkuat kuasa Khamis lepas, menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada Kementerian Pendidikan yang memberi peluang kepadanya untuk menyambung semula tugas.

“Dengan kembalinya saya di sini, diharapkan segala program yang dirancang bagi tahun 2020, dapat diteruskan demi kebaikan universiti dan para pelajar,” katanya.

Nor Aieni yang sebelum ini direhatkan dari menjalankan tugas sebagai naib canselor UMT berkuat kuasa 30 Dis tahun lepas, menyambung semula tugas beliau sehingga 12 April depan, iaitu tarikh asal kontrak yang dimeterai sebelum ini.

UMT melalui satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporatnya pada Jumaat (14 Feb) menyatakan Mahathir selaku pemangku menteri pendidikan, bersetuju menyambung semula kontrak Nor Aieni bagi melancarkan pentadbiran serta menyelesaikan urusan universiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.