MCA beri lebih banyak autonomi kepada MCA Sabah

MCA beri lebih banyak autonomi kepada MCA Sabah

Pada September tahun lepas MCA Sabah diberikan autonomi dalam urusan pentadbiran parti itu.

Presiden MCA Wee Ka Siong menerima kunjungan pemimpin pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan ke majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran parti itu di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU:
MCA memberi lebih banyak autonomi kepada MCA Sabah dengan memberikannya lebih kuasa dalam menentukan calon pilihan raya dan memilih sekutu.

Pada September tahun lepas MCA Sabah diberikan autonomi dalam urusan pentadbiran parti itu.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, parti itu mahu MCA Sabah benar-benar mewakili kepentingan negeri itu dan membuat keputusan sendiri tanpa campur tangan pusat.

Beliau berkata, MCA Sabah juga bebas memilih sekutunya bagi membentuk kerjasama, dengan menyebut bahawa iklim politik di negeri itu mungkin berbeza dengan keadaan di semenanjung Malaysia.

“Saya berikan sokongan penuh, tetapi MCA akan tetap ada untuk memberikan panduan dan latihan seperti persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 akan datang.

“Kita sekarang akan biarkan warga Sabah memimpin MCA Sabah tanpa campur tangan MCA pusat.

“Kita juga akan menambah perwakilan Sabah dalam majlis presiden daripada 3 orang pada masa ini bagi membolehkan pemimpin negeri membangkitkan lebih banyak isu Sabah ke peringkat nasional,” katanya kepada pemberita selepas menganjurkan majlis sambutan Tahun Baru Cina MCA Sabah di sini, hari ini.

Ketika mengumumkan peluasan autonomi itu, Wee juga mengumumkan pembatalan status badan perhubungan MCA Sabah dan “ketua perhubungannya” kini digantikan dengan seorang “pengerusi”.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi MCA Sabah Lu Yen Tung, penasihat tertinggi Parti Bersatu Sabah Joseph Pairin Kitingan, presiden Parti Solidariti Tanah Airku Jeffrey Kitingan dan pengerusi Umno merangkap pengerusi Barisan Nasional Sabah Bung Mokhtar Radin.

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar mengalu-alukan peluasan autonomi MCA Sabah itu berikutan kemenangan Umno dalam pilihan raya kecil Kimanis pada Januari.

Umno Sabah diberikan autonomi penuh oleh Umno pusat pada Disember tahun lepas, yang menyaksikan pemimpin Umno negeri bebas mengurus hal ehwal parti itu, memilih calon pilihan raya dan menentukan hala tujunya sendiri.

Beliau berkata, kemenangan Umno Sabah di Kimanis membuktikan keberkesanan langkah memberikan autonomi kepada sayap negerinya.

“Dalam pilihan raya kecil itu, Umno Sabah berkuasa penuh ke atas pemilihan calon, haluan parti dan sebagai pembangkang, Umno Sabah perlu mengadakan program yang baik.

“Ia dilaksanakan di Kimanis. Idea dan program Umno Sabah menyebabkan parti menang di situ,” katanya.

Bung berkata, Umno Sabah terbuka kepada kerjasama dengan parti pembangkang yang sealiran dan berjanji parti itu akan memberi sokongan penuh kepada calon daripada parti yang mesra Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.