Khalid: DBKL akan tempat penguat kuasa di Pintasan Saloma elak vandalisme, gelandangan

Khalid: DBKL akan tempat penguat kuasa di Pintasan Saloma elak vandalisme, gelandangan

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, masalah gelandangan dan vandalisme berlaku di lokasi tumpuan pelancong.

Pintasan Saloma sepanjang 370 meter yang menghubungkan Kampung Baru dan Menara Berkembar Petronas dan baru dibuka awal bulan ini, dilaporkan menjadi mangsa vandalisme, dicemari sampah sarap dan ‘dihuni’ golongan gelandangan.
KUALA LUMPUR:
Anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditempatkan di Pintasan Saloma bagi mengelak mercu tanda baharu di ibu kota itu, menjadi tempat tinggal gelandangan dan rosak akibat kegiatan vandalisme.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, masalah gelandangan dan vandalisme berlaku di lokasi-lokasi tumpuan pelancong, yang memerlukan penguatkuasaan dalam menanganinya.

“Kita jadikan banyak tempat cantik di Kuala Lumpur tetapi akhirnya di situ juga dia (gelandangan) melepak. Kita perlu tangani masalah ini sebaik mungkin, dan bawa gelandangan ini ke rumah transit,” katanya kepada pemberita selepas acara Kenduri Rakyat, sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di sini, hari ini.

Pintasan Saloma, jambatan pejalan kaki sepanjang 370 meter menghubungkan Kampung Baru dan kawasan berdekatan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang baru dibuka kepada umum awal bulan ini, dilaporkan telah menjadi ‘mangsa’ vandalisme, dicemari sampah sarap dan ‘sarang’ baru golongan gelandangan.

Beliau berkata, kira-kira 100 anggota penguat kuasa akan bertugas melibatkan 4 syif bagi memantau jambatan pejalan kaki berkenaan serta kawasan berdekatan seperti Jalan Saloma, Jalan P Ramlee dan Kampung Baru, selain langkah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Khalid berkata, kerosakan yang berlaku juga telah dibaiki, serta menyeru orang ramai supaya menghargai dan menggunakan kemudahan awam, dengan baik.

“Vandalisme memang masalah di banyak tempat, kita kena didik rakyat kita, kerana bila kita buat kemudahan cantik-cantik, ia untuk kemudahan semua, setakat ini kita cuba tangani dengan penguatkuasaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.