
Beliau berkata, langkah parti Islam itu sebenarnya untuk memesongkan kerajaan Pakatan Harapan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kepimpinan PAS tidak pernah komited kepada prinsip demokrasi berparlimen “dan akan mengetepikan prinsip serta amalan demokratik jika diberikan akses untuk berkuasa”.
Katanya, Mahathir semalam mengulangi komitmennya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November ini.
Lim berkata, janji Mahathir itu “sepatutnya menghentikan semua muslihat, konspirasi dan komplot oleh PAS dan watak pembangkang lain untuk memusnahkan kerajaan Pakatan Harapan”.
Katanya, keadaan politik sepatutnya stabil selepas Anwar menemui Mahathir pada Khamis lalu dan berkata Majlis Presiden PH akan memuktamadkan perjanjian 2018 berhubung peralihan kuasa pada 21 Feb ini.
“Tetapi, tukang tilik malapetaka dan penentang percaya sebaliknya, mereka mendakwa banyak perkara boleh berlaku sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Feb ini.
“Adakah pemimpin PAS dan oportunis pembangkang akan terus mencetuskan masalah, dengan harapan mengekalkan persepsi kerajaan persekutuan PH di ambang kejatuhan?” soalnya.