Gadis bertudung lincah beraksi dengan basikal BMX

Gadis bertudung lincah beraksi dengan basikal BMX

Nur Airen Sofea Mohd Nor Aszeril menceburi sukan BMX Freestyle Flatland yang kebanyakannya didominasi lelaki.

Nur Airen Sofea Mohd Nor Aszeril beraksi dengan basikal BMX miliknya.
PETALING JAYA:
Ketika gadis lain terpesona dengan dunia kecantikan dan asyik dengan gajet keluaran terbaru, seorang remaja perempuan mengambil pendekatan dan minat berbeza bagi mengisi masa lapang dengan melibatkan diri dengan sukan BMX Freestyle Flatland.

Nur Airen Sofea Mohd Nor Aszeril, 12, berkata, walaupun sukan ini kebanyakannya didominasi lelaki, namun ia bukanlah penghalang buatnya mempelajari pelbagai trik lain bagi meningkatkan kemahiran.

“Mula-mula saya main untuk suka-suka, selepas melihat aksi ayah, yang turut bermain secara aktif sukan basikal BMX ini, dari situlah minat saya timbul. Saya mula beritahu ayah bahawa saya minat untuk belajar trik-trik ini. Ayah juga tidak marah bahkan bertambah suka,” katanya ketika ditemui FMT.

Dia yang lebih mesra dipanggil Sofea berkata, selain usaha gigih untuk mempelajari trik terbaru, ayahnya merupakan individu penting yang bertindak sebagai jurulatih peribadinya.

Mohd Nor Aszeril Mohd Nor berperanan selaku jurulatih Sofea yang mengajar trik kemahiran.

“Basikal semua ini, ayah yang belikan, memang ayah sokong saya. Memang susah sikit hendak buat trik baru, ada sesetengah trik ambil masa lama untuk belajar.

“Setiap petang, ayah akan ajak saya berlatih basikal, untuk tempoh antara 1 jam hingga 2 jam,” katanya.

Tambahnya, minat itu turut disokong ibunya yang berpandangan lebih baik melakukan aktiviti yang menyihatkan badan dan mengeluarkan peluh, berbanding terperuk di dalam rumah bermain permainan dalam telefon bimbit.

Sofea ketika memenangi beberapa pertandingan sukan BMX Freestyle Flatland.

Menurut Sofea, tidak dinafikan pada peringkat awal penglibatannya dalam sukan berkenaan, dia menghadapi kesukaran menyesuaikan diri kerana mengakui pergerakannya terbatas kerana bertudung.

“Saya hanya lakukan aktiviti yang saya minat, iaitu bermain basikal BMX. Memang pada mulanya susah untuk main basikal dengan bertudung, namun lama-lama sudah biasa. Bagi saya, aurat tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Sofea berkata, walaupun bergiat aktif dan melibatkan diri dalam beberapa pertandingan BMX Freestyle Flatland di seluruh negara, dia tetap memberi sepenuh tumpuan ketika sesi persekolahan.

“Sesi persekolahan adalah di waktu pagi, selepas balik tengah hari saya akan selesaikan kerja sekolah terlebih dahulu, sebelum pada sesi petang akan pergi ke taman.

“Memang banyak pertandingan yang saya sertai dan pernah juga merangkul beberapa kejuaraan,” katanya.

Ketika ini, Sofea berkata dia bercita-cita untuk menjadi atlet dalam acara sukan melibatkan BMX dan mewakili Selangor serta dapat membawa nama negara di pentas antarabangsa.

Sementara itu, bapa Sofea, Mohd Nor Aszeril Mohd Nor, 37, berkata walaupun dia menggalakkan anak sulungnya itu menceburkan diri dalam sukan berkenaan, namun sebagai bapa, dia sentiasa bimbang dengan keadaan anaknya.

Aszeril (tengah) ketika bersantai dengan pemain BMX Freestyle Flatland yang lain.

“Itu yang saya risau dan saya juga ajar benda asas dahulu. Memang dia ada jatuh sewaktu membuat latihan tetapi apabila jatuh, dia sudah tahu cara untuk mengelaknya. Saya risau sebab dia perempuan, risau dia mengalami patah tangan tetapi Alhamdulillah, setakat ini tidak ada,” katanya.

Aszeril berkata, beliau juga sanggup melaburkan wang poketnya demi melihat Sofea dan anak-anaknya yang lain memiliki basikal dan peralatan sesuai untuk berlatih dan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Saya juga mempunyai misi, iaitu misi mencari bakat-bakat baru dalam sukan ini, hendak tunggu anak lelaki masih kecil lagi.

“Sofea pula minat, saya sedia memberikan sebarang tunjuk ajar. Pada awalnya Sofea sendiri berlatih menggunakan basikal saya.

“Namun, lama-kelamaan, saya cari barang sikit-sikit untuk lengkapkan dan menjadi sebuah basikal. Susah untuk mencari peralatan dan barangan basikal BMX di dalam negara, kebanyakannya saya beli dan tempah di Jepun,” katanya.

Tambah Aszeril, berbeza dengan dirinya pada waktu muda yang lebih cemas dan tidak mempunyai keyakinan tinggi semasa menyertai sebarang pertandingan, Sofea pula lebih bersemangat untuk mempersembahkan trik yang dipelajarinya kepada khalayak.

“Setakat ini apabila sertai pertandingan, tidak pernah nampak lagi dia takut. Bahkan dia lagi bersemangat hendak masuk.

“Disebabkan tidak banyak pertandingan sesuai untuk kategori ‘beginner’, Sofea kadang-kadang terpaksa masuk dalam kategori terbuka,” katanya.

Menurut Aszeril, selain berharap anaknya berjaya dalam bidang pendidikan, dia juga memasang impian anaknya diberikan peluang membawa nama negara di pentas antarabangsa pada masa akan datang, memandangkan sukan ekstrim ini turut dipertandingkan pada Sukan SEA Filipina 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.