
Bekas rektor Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta Azyumardi Azra berkata, pemimpin Islam di Malaysia dan Indonesia yang menyaksikan keberanian Iran menentang Amerika Syarikat semasa dan selepas revolusi Islam di negara itu pada lewat 1970-an melihat semangat keagamaan yang ditunjukkan oleh rakyat Iran sebagai sesuatu yang membimbangkan.
Beliau memberitahu FMT bahawa pemimpin Malaysia dan Indonesia ketika itu menganggap fahaman Syiah bersifat revolusioner dan mahu mengharamkan ajarannya.
Bagaimanapun katanya, pengharaman tidak berlaku di Indonesia kerana bantahan keras yang dihadapi di negara itu.
Beliau menyifatkan ajaran Syiah sebagai “sebahagian” daripada Islam.
Berhubung toleransi lebih besar terhadap fahaman Syiah di Indonesia berbanding di Malaysia beliau berkata, ini kerana orang Islam di negara itu kurang bergantung pada kerajaan.
“Mereka (orang Islam Indonesia) mempunyai organisasi sendiri dan mereka membiayai organisasi-organisasi ini. Mereka membina masjid dan madrasah mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan.
“Mereka membayar penceramah mereka sendiri, sedangkan di Malaysia, pegawai agama mendapat gaji daripada kerajaan,” katanya yang berada di Malaysia kerana menghadiri Persidangan Serantau Hidup Bersama.
“Jika orang Islam mempunyai lebih autonomi, iaitu mereka tidak terlalu mengikut pemerintah seperti di Indonesia, maka kerjaaan tidak boleh dengan mudah mengisytiharkan Syiah sesat,” katanya kepada FMT.
Beliau juga berkata, di Indonesia tidak ada mufti rasmi dan orang Islam di negara itu boleh memilih sama ada mahu mematuhi fatwa yang dikeluarkan oleh pelbagai majlis Islam.
Bagaimanapun katanya, ini tidak bermakna tidak ada gesaan supaya ajaran Syiah diharamkan di negara itu.
Walaupun mengakui bahawa pengikut Sunni mempunyai hak untuk menolak fahaman Syiah, namun beliau menggesa supaya mereka tidak melakukan keganasan terhadap golongan itu.
“Walaupun jika mereka diharamkan oleh kerajaan, anda harus menghormati mereka,” katanya.
Sejak beberapa tahun lepas pihak berkuasa Islam di Malaysia menguatkuasakan fatwa yang menganggap fahaman Syiah sebagai sesat.