Indonesia keluar amaran selepas Gunung Merapi meletus

Indonesia keluar amaran selepas Gunung Merapi meletus

Ia meletus selama 2 minit dan memuntahkan abu sehingga 2,000m yang boleh mengancam keselamatan pelancong dan penduduk tempatan.

Gunung Merapi terletak di sempadan wilayah Jawa Tengah dan Yogyakarta. (Gambar Twitter)
JAKARTA:
Indonesia mengeluarkan amaran kepada pelancong dan penduduk supaya tidak berada berhampiran Gunung Merapi berikutan letusan yang berlaku pada Khamis pagi, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Menurut Agensi Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Indonesia untuk Bencana Geologi (BPPTKG), gunung berapi itu meletus selama 2 minit, bermula 5.16 pagi (waktu tempatan).

Ia memuntahkan abu sehingga 2,000m yang boleh mengancam keselamatan pelancong dan penduduk tempatan.

Terletak di sempadan antara wilayah Jawa Tengah dan Yogyakarta, gunung berapi itu aktif sejak kebelakangan ini dengan letusan terakhir dilaporkan pada 4 Jan.

Walaupun letusan berlaku seketika, BPPTKG tetap meletakkan amaran pada tahap “waspada”.

Indonesia antara negara yang sering dilanda bencana letusan gunung berapi dan gempa bumi kerana terletak di “Lingkaran Api Pasifik”. Pada 2018, negara itu dilanda sebanyak 11,577 gempa bumi, yang mengorbankan banyak nyawa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.