
Sekurang-kurangnya 1,355 orang disahkan maut di seluruh negara itu dan hampir 60,000 dijangkiti selepas Suruhanjaya Kesihatan Hubei melaporkan angka baru.
Dalam kemas kini hariannya, suruhanjaya berkenaan mengesahkan 14,840 kes baru di wilayah tengah China itu, sejak ia mula menular pada Disember tahun lepas.
Menurut pegawai tempatan, lonjakan angka itu berlaku berikutan perubahan dalam cara mereka mendiagnosis kes Covid-19.
Dalam satu kenyataan suruhanjaya berkenaan berkata, ia kini akan memasukkan kes yang “didiagnosis secara klinikal” dalam angka rasminya.
Ini bermakna, pengimejan paru-paru kes yang disyaki dianggap sudah memadai untuk didiagnosis dengan virus berkenaan, berbanding ujian standard asid nukleik sebelum ini.
Berhubung lonjakan angka pada Khamis, ia berkata, pengkelasan baru itu meliputi 13,332 kes dan lebih separuh angka kematian.
Ia berkata, perubahan itu bermakna pesakit boleh mendapatkan rawatan “paling awal yang mungkin” dan ia “konsisten” dengan pengkelasan yang digunakan di wilayah lain.
Ia juga berkata, perubahan itu dibuat kerana “kefahaman kita mengenai pneumonia yang diakibatkan oleh koronavirus baru ini bertambah dan kita telah mengumpul pengalaman mengenai diagnosis dan rawatan”.