MCA, MIC, 12 lain dibenar celah saman kesahan sekolah vernakular

MCA, MIC, 12 lain dibenar celah saman kesahan sekolah vernakular

Hakim membenarkan mereka menyertai saman memohon sekolah vernakular diisytiharkan tidak mengikut perlembagaan.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (kiri) bersama peguam Shaharudin Ali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan 14 pertubuhan untuk mencelah saman seorang peguam yang mahu mahkamah mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Hakim Nordin Hassan membenarkan permohonan untuk campur tangan selepas pasukan peguam mewakili Khairul Azam Abdul Aziz tidak membantah penyertaan pertubuhan-pertubuhan itu dalam saman itu.

“Kami tidak membantah pencelah menyertai saman ini, sama ada mereka bersama kami atau kerajaan,” kata Shaharudin Ali.

Empat parti politik mohon mencelah iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

Pertubuhan bukan politik yang memohon jadi defendan adalah Pertubuhan Generasi Baru Melaka, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak), Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Malaysia Tamil Neri Kalagam, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia serta SMJK Chong Hwa.

Nordin menetapkan 5 Mei sebagai tarikh perbicaraan. Beliau juga memerintahkan pencelah memfailkan afidavit sebelum 5 Mac dan penghujahan difailkan menjelang 28 April.

Dalam saman itu, Khairul memohon mahkamah mengisytiharkan Seksyen 28 dan 17 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular, bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan awalnya dibuang Mahkamah Persekutuan pada November tahun lepas, dan mahkamah itu berkata mereka tiada bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan perkara itu.

Dua kumpulan lain, iaitu Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) juga memfailkan saman terhadap Seksyen 2, 17, dan 28 Akta Pendidikan.

Khairul bagaimanapun berkata kesnya dan kumpulan itu tiada kaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.