Lembaga Disiplin PKR tolak permohonan Zuraida tangguh pendengaran

Lembaga Disiplin PKR tolak permohonan Zuraida tangguh pendengaran

Lembaga Disiplin PKR memberi masa sehingga 20 Feb ini kepada Zuraida Kamaruddin memandangkan kesibukannya sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Zuraida Kamaruddin memohon Lembaga Disiplin menangguhkan pendengaran terhadapnya selepas menerima 2 surat saman daripada Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Saifuddin Nasution.
PETALING JAYA:
Lembaga Disiplin PKR menolak permohonan Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin untuk menangguhkan sesi pendengaran terhadapnya, selepas menerima 2 surat saman daripada 2 pemimpin parti itu.

Pengerusinya, Ahmad Kasim berkata, pihaknya memutuskan untuk meneruskan sesi pendengaran menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu kerana saman itu ialah kes sivil, bukannya jenayah.

“Sebanyak 3 tuduhan disiplin dikenakan kepada Zuraida, manakala kes yang melibatkan saman sivil ini hanya satu kes saja.

“Lembaga Disiplin memberi masa kepada Zuraida hingga 20 Feb ini memandangkan kesibukannya sebagai menteri Kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lembaga Disiplin PKR dilapor memulakan siasatan ke atas pelbagai aduan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin parti itu, termasuk Zuraida yang dipercayai berkait insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR di Melaka pada Disember lalu.

Zuraida sebelum ini didakwa menghina ahli parti itu dan mendedahkan butiran perbualannya dengan Anwar Ibrahim ketika berucap dalam satu majlis makan malam pada 8 Dis lalu.

Beliau mendakwa Anwar cuba meyakinkannya salah seorang lelaki dalam video seks sejenis yang tersebar Jun tahun lalu ialah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Ketua Wanita Pakatan Harapan itu turut mendakwa penilaian Anwar dilihat terjejas akibat pengaruh “budak pampers” dan “gengster” dalam parti yang merujuk Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil serta Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Pada 5 Feb lalu, Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad dilaporkan berkata, Zuraida menghantar surat kepada Lembaga Displin untuk menangguhkan “tindakan lanjut” selepas menerima 2 surat saman daripada Farhash dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Saifuddin menghantar surat tuntutan kepada Zuraida kerana memfitnahnya menerima “jutaan ringgit” daripada PAS dan Tabung Amanah Tok Kenali di Kelantan untuk orang miskin ketika beliau menjadi pengurus tabung itu.

Katanya, Zuraida turut menyerahkan permohonan bercuti daripada menjalankan tugas naib presiden PKR sehingga siasatan Lembaga Disiplin terhadapnya selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.