SPRM keluar waran tangkap Jho Low, 2 pengarah PetroSaudi

SPRM keluar waran tangkap Jho Low, 2 pengarah PetroSaudi

SPRM turut memaklumkan Interpol mengeluarkan amaran merah terhadap 3 lelaki itu yang dikaitkan kepada 1MDB.

Dari kiri ialah Tarek Obaid, Patrick Mahony dan Jho Low yang dikehendaki SPRM.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan waran tangkap dan memaklumkan Interpol untuk mengeluarkan amaran merah ke atas 3 individu dikaitkan kepada 1MDB.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, 3 lelaki itu ialah ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho serta Pengarah PetroSaudi International Limited (PSI), Tarek Obaid dan Patrick Mahony.

Katanya, mereka bertiga didakwa bersubahat dalam konspirasi jenayah membabitkan AS$69 juta (RM286 juta) yang didakwa wang dikaitkan dengan 1MDB dan SRC International.

“Interpol dimaklumkan semalam. Kami sudah memfailkan pertuduhan, tetapi mereka tiada di negara ini, jadi kami terpaksa mengeluarkan waran tangkap,” katanya selepas merasmikan Simposium APEC 2020 mengenai Mengarusperdanakan Gender dan Memperkasa Wanita bagi Memerangi Rasuah hari ini.

Latheefa berkata, SPRM diberikan kuasa untuk mendakwa mereka, walaupun mereka ialah warga asing yang kini berada di luar negara.

“Apa yang anda selalu dengar ialah jumlah (wang) di negara ini.

“Tetapi dalam realiti, kita bercakap mengenai (wang) di seluruh dunia,” katanya sambil menambah 3 lelaki itu mempunyai butiran mengenai wang berkenaan.

November lalu, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu perbicaraan rasuah Najib Razak yang Jho Low bersubahat dengan Mahony dan Obaid untuk memperdaya bekas perdana menteri itu.

Jho Low diburu pihak berkuasa Malaysia dan Singapura atas peranannya dalam skandal 1MDB.

Laporan media baru-baru ini mengatakan beliau berada di China, Hong Kong, Macau dan Emiriah Arab Bersatu, tetapi semuanya ditolak polis Malaysia sebagai “palsu”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.