
Jamil Khir Baharom yang menjaga hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri, berkata demikian ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram mengenai mesyuarat tidak rasmi antara Raja Abdullah dan Najib, beliau dan 2 yang lain pada 11 Jan 2010.
Dua lagi individu itu ialah bekas menteri luar, Anifah Aman dan bekas duta Malaysia ke Arab Saudi, Syed Omar Al-Saggaf.
“Seingat saya, tiada perbincangan,” kata Jamil ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan hari ini.
Beliau bersetuju dengan Sithambaram yang orang ramai tidak dimaklumkan mengenai “sumbangan” berkenaan ketika itu.
Jamil berkata, mesyuarat tidak rasmi itu diadakan di istana di Riyadh dan mereka membincangkan kuota haji, kebangkitan “Arab Spring” dan bantuan kewangan daripada Saudi.
“Raja Abdullah memuji kami atas tugas mentadbir negara berbilang budaya dan mahu Datuk Seri mengekalkan Malaysia sebagai negara Islam sederhana.”
Katanya, satu lagi sebab Raja Abdullah mahu memberi bantuan kewangan kepada Najib kerana beliau mahu Malaysia menangkis pengaruh Syiah dan menghapuskan ekstremisme agama.
Beliau ingat pemerintah Saudi itu memberitahu dana akan dihantar sejurus selepas mesyuarat 11 Jan dan wang itu akan dimasukkan ke akaun peribadi Najib.
“Beliau bimbang penyaluran dana itu ke organisasi atau entiti lain mungkin merumitkan cara dana itu dibelanjakan.”
Ditanya jika beliau tahu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low ialah individu yang mengatur mesyuarat itu, Jamil berkata, beliau tidak tahu.
Sebelum ini, Najib dilaporkan berkata, Jho Low memberitahunya pada 2010 yang Raja Abdullah bersetuju memberi sokongan kepadanya dalam bentuk sumbangan kewangan.
Najib berkata, beliau percaya Jho Low “menguruskan dana itu bagi pihak kerabat diraja Saudi”.
Jamil berkata, beliau tidak tahu berapa banyak wang yang dihantar kepada Najib dan Najib memulangkan lebih AS$620 juta kepada Tanore Finance Corporation beberapa bulan selepas pilihan raya umum 2013.
Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaunnya.
Beliau turut didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.
Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan pada Khamis dan Anifah dijangka memberi keterangan.